Jerebu: Syarikat penerbangan Indonesia rugi Rp24 bilion
Tiga syarikat penerbangan besar Indonesia yang beroperasi dari dan ke Kalimantan Tengah rugi 24 bilion rupiah (RM7.5 juta) pada dua bulan lalu akibat jerebu teruk.
Ketua Bank Indonesia Kalimantan Tengah Muhamad Nur berkata, pada September 2015, berlaku penurunan 43.68 peratus (358 penerbangan) jumlah pesawat yang menggunakan lapangan terbang Tjilik Riwut.
“Jadi, kerugian tiga syarikat penerbangan besar yang beroperasi di Kalimantan Tengah itu akibat pembatalan penerbangan sejak Ogos hingga September," beliau dipetik sebagai berkata oleh ANTARA, agensi berita Indonesia.
Kalimantan Tengah mempunyai tiga lapangan terbang, iaitu Tjilik Riwut di Palangka Raya, Bandar Udara H Asan di Sampit dan Bandar Udara Iskandar di Pangkalan Bun.
Keadaan jerebu turut menyebabkan pihak berkuasa lapangan terbang rugi sehingga 50 peratus, menurut kajian Bank Indonesia.
ANTARA juga melaporkan sektor perhotelan dan kedai makan turut mengalami kerugian, dianggarkan 2.07 bilion rupiah.
Jerebu juga dilapor mempengaruhi perekonomian setempat sekitar 0.04 hingga 0.10 peratus.

