KJ: Pembangkang tak mampu tunai janji tiada tol

Anne Muhammad        

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata pembangkang tidak mampu menunaikan janji untuk memansuhkan tol yang dibuat dalam manifesto pilihan raya sekiranya mereka memenangi pilihanraya umum ke-13 (PRU13).

Ia kerana, katanya, kerajaan negeri Selangor yang diterajui Pakatan Rakyat juga bersetuju dengan pembinaan tiga lagi lebuh raya yang melalui jajaran negeri itu.

Tiga tol itu adalah Lebuh Raya Damansara- Shah Alam (DASH), Lebuh Raya Lembah Klang Timur (EKVE) dan Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) yang masih dalam pembinaan.

“Untuk membina lebuh raya baru yang mempunyai tol, jajarannya telah melalui negeri Selangor dan kalau tidak silap saya, ini memerlukan kelulusan dari kerajaan negeri.

“DASH, EKVE, SUKE, tiga lebuh raya utama yang memerlukan tol telah dipersetujui oleh kerajaan negeri Selangor.

“Kalau dasar tidak setuju dengan jalan yang bertol, maksudnya mereka tidak bersetuju dari awal lagi, ini kenyataan dari kerajaan negeri, untuk melalui jajaran ataupun tanah negeri Selangor yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri Selangor.

“Bagi saya jangan cakap soal jalan tanpa tol sekiranya hari ini kerajaan di bawah Pakatan setuju dengan jajaran jalan bertol baru yang dipersetujui kerajaan negeri Selangor,” katanya.

Uji janji Pakatan

Khairy Jamaluddin berkata demikian pada forum Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (AKHI) mengenai kenaikan tol di Kelana Jaya malam semalam.

Sebahagian besar, syarikat konsesi lebuh raya pada 15 Oktober lalu, mengumumkan kenaikan kadar tol di 18 lebuh raya di seluruh negara.

Namun, berikutan kos sara hidup yang meningkat pada masa ini, kerajaan negeri Selangor menolak kenaikan itu, di mana 12 daripada lebuh raya itu adalah di Lembah Klang.

Menteri Besarnya Mohamed Azmin Ali turut mengarahkan dua syarikat milik kerajaan negeri yang mempunyai pegangan saham minoriti dalam dua lebuh raya di negeri itu untuk hadir ke mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor ( MTES ).

Dua syarikat berkenaan - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Kumpulan Perangsang Selangor (PKS) - diarahkan supaya menjelaskan kenaikan kadar tol baru itu.

Pada PRU-13 antara janji pembangkang adalah untuk memansuhkan tol, selain untuk mengurangkan harga kereta, menurunkan harga minyak, memberi RM1,000 kepada warga emas, serta menaikkan royalti petrol kepada Sabah dan Sarawak daripada lima kepada 20 peratus.

Khairy Jamaluddin yang juga ahli parlimen Rembau berkata pembangkang tidak akan membina lebuh raya bertol sekiranya memenangi PRU, ia kerana berdasarkan polisi yang dibuat untuk menghapuskan kadar tersebut.

“Selain dari segi polisi dan dasar, pembangkang dari segi persekutuan kata kalau menang mereka akan hapuskan tol, itu jadi polisi maksudnya mereka tidak akan membina lebuh raya yang dikenakan tol.

“Kalau tak mereka tidak akan buat janji bahawa tol akan dihapuskan, jadi kita tak boleh nak uji janji tersebut melainkan kita bagi kuasa dekat mereka yang kita tak mahu ia berlaku,” katanya kepada 200 peserta yang hadir.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In