Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Graduan kumpulan paling banyak menganggur
Diterbitkan:  Oct 28, 2015 1:00 PM
Dikemaskini: 5:12 AM

Lepasan pengajian tinggi paling banyak menganggur di negara ini berbanding pihak yang hanya mendapat pendidikan menengah dan rendah.

Malah, berbanding dengan kumpulan tiada pendidikan rasmi pun, graduan universiti masih ketinggalan daripada aspek pekerjaan.

Menurut statistik pada separuh tahun pertama 2015, sebanyak 3.8 peratus graduan menganggur di negara itu.

Statistik untuk 2015 juga menunjukkan golongan tiada pendidikan rasmi mewakili 2 peratus daripada kadar pengangguran keseluruhan, pendidikan rendah 1.2 peratus dan pendidikan menengah sebanyak 3.3 peratus.

Berbanding 2014, kadar pengangguran bagi golongan berpendidikan menengah dan tinggi naik 0.2 peratus. Manakala kadar bagi golongan berpendidikan rendah kekal.

Bagaimanapun kadar pengangguran bagi golongan tiada berpendidikan rasmi menurut 0.9 peratus.

Perkara itu didedahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wahid Omar dalam jawapan bertulis di parlimen hari ini, yang menjawab soalan Sim Chee Keong (Bukit Mertajam).

Sementara itu, daripada aspek kaum, masyarakat India mencacatkan kadar pengangguran tertinggi bagi separuh tahun pertama 2015, dengan kadar 4.5 peratus.

Ini diikuti etnik lain-lain (3.7 peratus), bumiputera (3.5 peratus) dan seterusnya Cina (2.5 peratus).

Berdasarkan kawasan pula, Wilayah Persekutuan Labuan mencacatkan kadar pengangguran tertinggi 5.5 peratus, diikuti Terengganu (4.6 peratus) dan Sabah (4.5 peratus).

Kadar pengangguran terendah pula dicatatkan di Putrajaya dan Melaka dengan 1 peratus, diikuti Selangor (2.4 peratus), Kedah (2.5 peratus) dan Pahang (2.7 peratus).

Lihat Komen
ADS