Tiga orang maut, dua daripadanya rentung, dalam tiga kemalangan jalan raya berasingan yang berlaku hari ini.

Di Johor Bahru, seorang pemandu kereta rentung manakala dua lagi cedera setelah kenderaan yang dinaiki masing-masing terbakar selepas terlibat dengan kemalangan di Kilometer 32, Jalan Johor Baharu-Pontian, dekat Nusajaya awal hari ini.

Kemalangan yang berlaku pada pukul 3.40 pagi itu melibatkan sebuah Toyota Vios dari arah Johor Baharu menuju ke Ulu Choh dan sebuah Proton Exora yang menuju ke Johor Baharu dari arah Ulu Choh.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Supt Noor Hashim Mohamad berkata mangsa yang rentung merupakan pemandu Toyota Vios, seorang wanita dikenali sebagai Koh Kea Lee, 31.

Katanya, Koh meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah dan rentung lebih 75 peratus daripada badannya dan mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah.

Manakala seorang mangsa wanita Looi Ling Ching, 51 dan seorang mangsa lelaki Chan Chu Ngo, 47 yang menaiki Proton Exora cedera parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital yang sama.

"Kemalangan dipercayai berpunca apabila Koh hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum dilanggar kereta Looi dan terbakar," katanya dalam satu kenyataan.

Di Pasir Puteh , seorang wanita dijumpai rentung di dalam kereta yang dipandunya selepas kenderaan itu terbabas dan terbalik ke dalam

parit di Kampung Jelor hari ini.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh DSP Abdul Rozak Mohammad berkata Ayu Aida Alias, 36, dipercayai cuba mengelak daripada melanggar sebatang pokok yang tumbang di atas jalan dalam kejadian jam 6 pagi itu.

"Mangsa memandu seorang diri dalam perjalanan pulang ke Jelawat, Bachok dari Pasir Puteh," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata mangsa tidak dapat keluar dari keretanya akibat tersepit di tempat duduk pemandu dalam insiden yang berlaku ketika hujan renyai, keadaan jalan basah dan persekitaran yang gelap.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Penolong Penguasa Bomba Wan Baijuri Wan Hassan berkata sebuah jentera bersama enam anggota dihantar ke lokasi kejadian.

Manakala Di Ipoh, IPOH, seorang anggota polis maut apabila kereta yang dipandunya terbabas dan merempuh belakang lori membawa muatan kapur simen di Kilometer 310.7 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Kampar hari ini.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata dalam kejadian kira-kira 11.08 pagi itu, Mohamad Rafaie Abdul Karim, 25, maut di tempat kejadian.

Mayatnya dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat dan pemandu lori berkenaan Zubir Mohd Rais, 57, tidak mengalami kecederaan.

Ng berkata mangsa yang menaiki kereta jenis Toyota Vios itu hilang kawalan dan melanggar belakang lori berkenaan yang bergerak di lorong kiri jalan.

Mohamad Rafaie yang memakai pangkat Lans Koperal, telah berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2009 dan terakhir bertugas di Balai Polis Pantai, Brickfields di Kuala Lumpur.

- Bernama