Kerajaan telah membenarkan penjualan biografi Setiausaha Agung Parti Komunis Malaysia (PKM) Chin Peng, edisi bahasa Cina dengan tajuk yang bermaksud "Chin Peng: Sejarah Dari Kacamata Saya".

Jurucakap Horizon Books di Singapura, John Francis memberitahu malaysiakini bahawa buku tersebut akan mula diedarkan selewat-lewatnya Sabtu ini di semua kedai buku utama di Malaysia. Buku tersebut dicetak di Singapura.

Ia diterjemahkan terus daripada edisi bahasa Inggeris dan ketepatannya telah disemak oleh sepasukan 12 penterjemah dari kalangan peguam, lima bekas pengarang kanan penulis akhbar-akhbar utama di Malaysia, termasuk kolumnis malaysiakini dan pejuang pendidikan bahasa ibunda, Lee Ban Chen.

Hasil terjemahan itu juga telah dihalusi sendiri oleh Chin Peng.

Apabila edisi bahasa Inggeris setebal 527 halaman, yang ditulis bersama oleh wartawan veteran Australia Ian Ward dan Norma Miraflor, diedarkan di Malaysia September lalu, buku tersebut didapati'hilang' daripada lori yang membawanya dan ada antaranya yang dirampas oleh pegawai polis dan Kastam Malaysia, yang mendakwa diarah berbuat demikian.

Bagaimanapun, pihak berkuasa kemudiannya menjelaskan bahawa pengedaran buku itu di Malaysia adalah sah.

Jumpa bapa saudara

Difahamkan lebih 20,000 salinan telahpun dijual sehingga ini. Ia dijual di Malaysia, Singapura, Australia dan Britain. Juga difahamkan edisi bahasa China itu akan turut dipasarkan di China, Hong Kong dan Macau.

Selepas penerbitan buku tersebut, Chin Peng telah dijemput melakukan lawatan bersejarah ke Singapura selama tiga hari pada pertengahan bulan lalu.

Beliau turut bercakap di sebuah seminar akademik anjuran Institut Kajian Asia Tenggara (Iseas) yang diketuai oleh bekas Duta Singapura ke Malaysia, K Kesavapany.

Di Singapura, Chin Peng juga dilaporkan melawat tempat peringatan ketua operasi khas Pasukan 136 di Lembah Kinta, Perak Lim Bo Seng. Beliau turut melawat Queen Street tempat terletaknya bekas ibupejabat PKM.

Chin Peng juga bertemu dengan bapa-bapa saudara sebelah ibunya serta Elizabeth Choy, 94, yang ditahan dan diseksa oleh tentera Jepun selama 193 hari kerana dituduh membekalkan tahanan tentera Bersekutu dengan komponen radio yang diharamkan, serta rahsia perisikan ketika pemerintahan Jepun dahulu.