'Nazri salah tafsir kesediaan PAS kerjasama dengan BN'
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Abdul Aziz salah faham apabila Presiden PAS menyebut mengenai kesediaaan untuk bekerjasama dengan BN,.
Bercakap kepada pemberita di luar lobi Parlimen hari ini, katanya, kerjassama yang dimaksudkan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu bukan satu kerjasama politik tetapi membabitkan isu dan kepentingan rakyat.
"Kenyataan presiden bukan bererti PAS hendak bekerjasama dengan BN, apatah lagi kalau nak masuk BN, itu tidak pernah timbul.
"Kita masih berpendirian akan kekal sebagai pembangkang, dan kita kerjasama dengan semua parti, termasuk kerajaan persekutuan, DAP, untuk kebaikan. Tapi bukan kami sertai BN.
“Dia (Nazri) salah tafsir. PAS tak mahu kerjasama politik dengan bertanding bersama. Kita kerjasama dalam isu," katanya.
Nazri semalam berkata pakatan Umno-PAS tidak akan berjaya kerana mereka akan berebut kerusi pada pilihan raya umum.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Tajuddin Abdul Rahman yang menimbulkan kemungkinan pakatan Umno-PAS.
Tajuddin berkata, kerjasama itu akan menimbulkan ancaman yang serius kepada gabungan pembangkang Pakatan Harapan.
Sebelum ini, Hadi dilaporkan berkata PAS terbuka untuk bekerjasama dengan Umno tetapi menolak kemungkinan gabungan politik.
Takiyuddin, yang mengesahkan pendirian itu, menegaskan bahawa PAS akan kekal sebagai pembangkang dan juga akan bekerjasama dengan DAP mengenai perkara-perkara yang berkepentingan bersama.
"Kami tidak akan kerjasama dengan BN di pilihan raya umum (PRU) akan datang. Kami akan tetap menjadi pembangkang.
"Yakin tidak yakin, kalau perlu, kita bersendirian, kita akan bersendirian. Kita pernah bersendirian," katanya.

