Pembangkang jangka ramai pemuda tak daftar pengundi
Pemuda Pakatan Harapan akan menyerahkan memorandum bantahan terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghentikan lantikan pendaftaran pemilih oleh parti politik.
Ketua Pemuda DAP Teo Kok Seong mendakwa ia strategi BN untuk menghalang anak muda mendaftar sebagai pengundi.
"Pemuda kami sebelum ini memang aktif mendaftar pengundi baru, tetapi dengan keputusan SPR ini saya jangka ramai pemuda tidak dapat mendaftar sebagai pengundi dalam PRU ke-14.
"Saya harap kerajaan perlu memberi kemudahan kepada pemuda untuk mendaftar sebagai pengundi dan bukannya menyusahkan parti politik dan anak pemuda," kata Teo.
Beliau berkata demikian selepas mesyuarat pertama Pemuda Pakatan Harapan di Subang Jaya hari ini.
Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ketua Pemuda Parti Amanah Nasional (AMANAH) Mohd Sany Hamzan turut hadir dalam sidang media itu.

