'Gabungan keselesaan bersama' PAS tak akan bertahan
TEMUBUAL Gabungan pembangkang dengan PAS yang hanya semata-mata demi untuk keselesaan bersama, tidak akan bertahan, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.
Lim berkata ia merupakan satu formula yang buruk jika mana-mana pihak dalam gabungan itu tidak boleh bergerak di luar politik berasaskan agama atau kaum.
"Jika kita akan mempunyai politik untuk keselesaan seperti itu, di mana kita juga bermain politik perkauman dan agama, saya tidak fikir kita menawarkan penyelesaian yang kekal," katanya kepada Malaysiakini dalam satu temu bual di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur Jumaat lalu.
Lim berkata demikian ketika diminta mengulas kekecewaan dengan pembangkang selepas pilihan raya umum 2013, terutamanya selepas PAS dan DAP memutuskan hubungan antara mereka.
Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata perpecahan bekas gabungan pembangkang, Pakatan Rakyat, telah mengecewakan ramai rakyat Malaysia, termasuk dirinya sendiri, tetapi beliau percaya ada hikmahnya.
"Nasib baik perpecahan Pakatan Rakyat berlaku sebelum pilihan raya umum yang akan datang. Kerana, jika kita telah memenangi pilihan raya umum ke-13, maka kita akan berdepan dengan perpecahan dalaman ini sebagai kerajaan," katanya sambil menambah ia mungkin satu kebaikan yang perkara itu berlaku sekarang.
Beliau enggan mengulas ketika ditanya sama ada pembangkang, kini bersatu di bawah Pakatan Harapan, memerlukan PAS dalam pilihan raya umum akan datang.
Pakatan Harapan terdiri daripada PKR, DAP dan AMANAH, yang merupakan parti serpihan PAS. Gabungan baru itu, kata Lim, dibina atas dasar bersama yang sama seperti Pakatan Rakyat sebelum ia dibubarkan.
Sementara itu, Lim juga menolak sebarang tanggapan bahawa DAP mendominasi pakatan pembangkang.
"Kami telah biasa dengan semua tuduhan ini," kata Lim.
"Ia bukan persoalan mengenai satu parti menguasai yang lainnya, tetapi ialah konsensus. Begitu jugalah dalam Pakatan Rakyat, sehinggalah prinsip konsensus itu dirosakkan," katanya.
Temubual ini dikendalikan oleh Zikri Kamarulzaman, Norman Goh dan Prasadh Michael.

