Kemenangan 17 calon pelajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam pilihanraya kampus lalu telah dibatalkan selepas mereka didapati bersalah kerana melanggar peraturan pemilihan.

Berikutan keputusan tersebut, Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar UTM, Prof Alias Mohd Nor berkata, calon-calon yang mendapat undi kedua tertinggi akan mengisi kekosongan tersebut.

Menurutnya, seramai 27 pelajar telah didakwa kerana melanggarkan peraturan sewaktu pemilihan kampus yang lalu.

1. Mereka dikenakan tindakan disiplin kerana melakukan pindaan pada poster kempen pemilian masing-masing.

Bagaimanapun, tiga daripadanya tewas dalam pemilihan tersebut manakala tuduhan terhadap tujuh orang lagi telah digugurkan.

Menurutnya Prof Alias, tiada tindakan diambil terhadap tiga calon yang tewas tersebut.

"Daripada 17 kekosongan itu, 14 daripadanya akan diisi calon yang mendapat undi kedua tertinggi, manakala tiga kerusi lagi dibiar kosong sehingga pemilihan akan datang, kerana tiada calon lain bertanding (bagi kerusi tersebut)," katanya ketika dihubungi.

Calon pro-kerajaan

Beliau berkata, pihak universiti tidak akan mengadakan pemilihan baru kerana hanya Menteri Pengajian Tinggi yang diberi kuasa berbuat demikian.

"Hanya menteri berkenaan yang mempunyai kuasa tersebut. Jika tidak, kampus universiti akan menjadi medan pertandingan politik," katanya.

Prof Alias juga menafikan dakwaan bahawa pemilihan 17 pelajar tersebut, yang dianggap calon anti-kerajaan, dibatalkan bagi membolehkan calon pro-kerajaan mengambil alih kerusi mereka.

"Tidak, tidak. Kekosongan kerusi tersebut akan diserahkan kepada calon-calon yang mendapat undi kedua tertinggi...kami bukan memberinya kepada mereka yang tidak bertanding. Saya sendiripun tidak tahu siapakan calon pro-kerajaan," tambahnya.

Pelajar-pelajar terbabit dikenakan tindakan selepas menukar foto mereka di poster kerana tidak puashati dengan mutu foto asal yang diambil oleh jurugambar lantikan univerisiti.

Menurut Prof Alias lagi, kemenangan itu dibatalkan kerana mereka bertindak membuat 'pindaan pada poster itu untuk mempengaruhi pengundian'.

Hukuman ringan

Beliau juga menyifatkan hukuman yang dikenakan kepada pelajar terbabit sebagai ringan.

"Mereka masih boleh merayu, kami mengamalkan demokrasi. Lagi pula MPP (Majlis Perwakilan Pelajar) tidak banyak kerja, hanya wakil kolej (asrama pelajar) yang banyak bekerja," katanya.

Sambil mempertahankan tindakan pihak univerisiti tersebut, Prof Alias menegaskan bahawa hukuman itu dijatuhkan mengikut proses demokrasi.

"Saya tidak bertindak sesuka hati. Pihak pelajar yang membuat aduan. Jika saya tidak mengambil tindakan, saya juga yang akan dipersoalkan," tegasnya.

Menurutnya, surat rasmi mengenai hukuman tersebut akan dihantar kepada pelajar-pelajar terbabit petang ini.

Daripada 46 kerusi yang dipertanding di UTM, 28 daripadanya telah dimenangi oleh calon daripada kumpulan pro-kerajaan.

Dalam pilihanraya kampus tahun ini, calon pro-kerajaan berjaya menguasi sebahagian besar universiti di negara ini. Bagaimanapun, ianya tercemar dengan dakwaan penyelewangan dalam perjalanan pemilihan kali ini.