Seramai 100 penduduk Cameron Highlands memfailkan saman terhadap Tenaga Nasional Bhd (TNB) atas dakwaan menyebabkan banjir kilat pada 23 Okt 2013 dengan melepaskan air dari empangan di Ringlet.
Penduduk menuntut ganti rugi khas, ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan yang dianggarkan berjumlah RM2 juta.
Writ saman itu difailkan oleh peguam M Manogaran yang tewas ketika bertanding di kerusi Parlimen Cameron Highlands pada pilihan raya umum 2013.
Menurut Manogaran, pihaknya mahu TNB hadir ke mahkamah untuk memberikan penjelasan berhubung kejadian banjir itu yang menyebabkan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda.
Banjir kilat dan lumpur berlaku akibat limpahan air. Kejadian itu juga memusnahkan kira-kira 80 buah rumah dan juga kenderaan di kawasan Lembah Bertam.
Pelepasan air empangan pertama dibuat pada 12 tengah malam diikuti pada pukul 1 pagi dan seterusnya pada 2.45 pagi yang menyebabkan air di Sungai Bertam melimpah secara mendadak dan menyebabkan banjir kilat.
TNB yang menjadi pengendali empangan hidroeletrik Sultan Abu Bakar melepaskan air melalui pintu kawalannya.
Dalam kejadian itu, empat orang mati lemas, tiga daripada mereka adalah pekerja asing.
