Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
LHDN sasar kutipan cukai RM132 bilion tahun depan
Diterbitkan:  Nov 2, 2015 2:00 PM
Dikemaskini: 6:11 AM

Kerajaan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyasarkan kutipan cukai sebanyak RM132.566 bilion tahun depan, selepas mengambil kira penurunan harga petroleum yang kini berada di bawah AS$49 setong.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar, berkata kutipan itu turut bergantung kepada keadaan ekonomi semasa dunia, terutama naik turun harga minyak.

"Kita akan berusaha untuk mencapai sasaran itu dan kita yakin, ia akan dapat dicapai dengan pertumbuhan ekonomi semasa negara serta jika tidak berlaku kegawatan ekonomi dunia.

"Kita memantau situasi ini, lebih-lebih lagi apabila kutipan zon tiga digit iaitu RM100 bilion untuk tahun ini dicatatkan pada 30 Oktber berbanding 5 Oktober pada tahun lepas berikutan kedudukan ekonomi semasa yang tidak begitu memberangsangkan," katanya selepas Majlis Sambutan Hari Inovasi LDHN 2015 di Cyberjaya, hari ini.

Mohd Shukor berkata, untuk kutipan tahun ini, Kementerian Kewangan juga menurunkan sasaran awal daripada RM142 bilion kepada sekitar RM130 bilion ekoran kejatuhan harga minyak.

"Keadaan (kejatuhan harga minyak) memberi kesan ke atas seluruh dunia, dan Malaysia tidak terkecuali," katanya.

Pada 2010 kutipan cukai berjumlah RM86 bilion, 2011 (RM109 bilion), 2012 (RM125 bilion) dan 2013 sebanyak RM129 bilion manakala pada 2014 berjumlah RM134 bilion.

Beliau juga berkata, walaupun kerajaan telah meningkatkan jumlah had pelepasan peribadi dan sebagainya, jumlah pembayar cukai biasanya akan bertambah dalam lingkungan 10 peratus setiap tahun.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS