PAS Selangor tidak akan mengendahkan kenyataan yang mahu wakil parti itu dalam kerajaan negeri dipecat bagi menyelesaikan kebuntuan kerajaan campuran PKR, DAP dan PAS.

Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, PAS sebaliknya akan menumpukan usaha memberi perkhidmatan kepada rakyat.

"Yang saya tahu PAS sekarang berada dalam kerajaan dan tugas kita ialah untuk jalankan tanggungjawab sebagai sebahagian daripada kerajaan. Banyak kerja di hadapan selepas bajet diluluskan.

"Sepatutnya fokus kita adalah kepada kerajaan dihadapan untuk membela rakyat serta beri perkhidmatan kepada rakyat.

“Isu-isu politik seperti ini perlu diketepikan sebab kita baru mula bersidang dan fokus kita pada bajet sekarang," katanya kepada pemberi di lobi Bangunan Annex, di Shah Alam hari ini.

Beliau mengulas soalan pemberita mengenai saranan perwakilan DAP Selangor yang mencadangkan supaya kerajaan negeri memecat semua wakil rakyat PAS dalam pentadbiran bagi menyelesaikan kebuntuan gabungan parti kerajaan negeri itu.

Selain itu, ditanya sama ada perkara itu akan dibincangkan di peringkat pusat, Iskandar berkata:

"Kita tak bincang. Akan terus dengan kerja kita.

"Pada saya dalam keadaan sekarang kita sepatutnya fokus kerja-kerja menyelesaikan masalah rakyat.

“Bukan untuk bermain politik sebab rakyat pun kadang-kadang jemu dengan permainan politik dan hendak sesuatu perbezaan. Itu paling penting sekali," ujarnya lagi.

Pergeseran antara PAS dan DAP berlarutan sejak beberapa bulan lalu ekoran ketegasan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai isu hudud.

Hai ini menyebabkan DAP memutuskan hubungan dengan beliau tetapi tidak kepada parti itu.

Selepas itu, PAS kemudian memutuskan hubungan dengan DAP pada muktamar Jun lalu sekali gus mendorong pepecahan Pakatan Rakyat.

Malah, Parti Amanah Negara (AMANAH) juga terbentuk hasil daripada beberapa pimpinan PAS yang keluar dari parti Islam itu dan menyertai Pakatan Harapan yang turut dianggotai PKR dan DAP tanpa PAS.