Ahli Jawatankuasa DAP Selangor yang baru Edry Faizal Yusof membidas mereka yang cuba menjadikan pemilihan parti itu Ahad lalu sebagai isu perkauman.

Katanya, apa yang menyedihkan ialah kegagalannya untuk mendapatkan undi yang mencukupi untuk memenangi tempat dalam jawatankuasa itu dikaitkan dengan dirinya seorang berbangsa Melayu dalam parti yang didominasi oleh orang Cina.

“Kekalahan saya atau dua lagi calon yang berketurunan Melayu tidak seharusnya dilihat dari lensa kaum.

“Saya percaya kami tewas bukan kerana kami Melayu, tetapi kerana kami kurang dikenali di peringkat akar umbi.

“Begitu juga saya berharap saya tidak diundi hanya kerana saya berketurunan Melayu, tetapi hendaklah atas sebab saya bekerja keras dan banyak membantu aktiviti di peringkat akar umbi,” ” kata Edry dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam erwakilan Konvensyen Biasa DAP Selangor memilih 15 ahli jawatankuasa baru manakala lima lagi yang gagal mendapat undi yang mencukupi atau tidak bertanding juga dilantik ke jawatankuasa berkenaan.

Mereka yang dilantik termasuk tiga ahli Melayu, Abdul Aziz Bari, Young Syefura Othman dan Edry, bersama-sama dengan ADUN Bukit Gasing, R Rajiv dan ADUN Damansara Utama, Yeo Bee Yin.

Edry yang juga pengerusi DAP Bandar Utama, berkata adalah menyedihkan bahawa ramai pihak yang belum memahami sistem pemilihan parti itu mengambil kesempatan atas keputusan pemilihan semalam untuk memainkan sentimen kaum.

Beliau merujuk kepada komen-komen di ruang maya daripada "Agenda Daily, cybertrooper dan blogger".

“Mereka yang mahu bermain sentimen ini ternyata memilih bulu dalam menghuraikan fakta atau masih terikat dengan sudut pandang kaum semata.

“Mereka menutup sebelah mata bahawa terdapat ramai lagi calon dari pelbagai kaum lain yang mendapat undi lebih rendah berbanding saya.

“Yang tidak berjaya menduduki 15 tangga teratas dalam pemilihan semalam bukan saja Melayu, tetapi juga kawan-kawan berketurunan Cina dan India,” katanya.

[Baca berita penuh]