Umno perlu manfaatkan sengketa 3 penjuru

   

Umno perlu mengeksploitasi pertikaian yang membabitkan DAP, PAS dan PKR untuk membuktikan kepada rakyat betapa parti politik pembangkang tidak pernah konsisten dalam perjuangan mereka.

Justeru, kata Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee, Umno dan BN perlu memanfaatkan sengketa tiga penjuru itu.

"Kita sepatutnya ambil manfaat daripada perbalahan sesama mereka, pergunakannya sebaik mungkin supaya rakyat sedar kepincangan tersebut," katanya dalam tulisan di blognya.

Dan cara untuk manfaatkan ini, katanya adalah dengan semua ketiga-tiga sayap Umno lebih pro-aktif menyerang pembangkang menerusi laman-laman sosial sepertimana mereka lakukan terhadap Umno.

“Andainya ini berlaku kepada Umno, pasti laman-laman sosial akan menjadi medium utama pembangkang menabur pelbagai cerita fitnah dan cercaan terhadap Umno," tegasnya.

"Kita tidak semestinya turut menyebarkan fitnah sepertimana perangai pemimpin pembangkang, tetapi kita perlu lebih aggresif mengeksploitasikan isu tersebut untuk memberi keuntungan politik kepada parti,” katanya.

Syed Ali berkata, rakyat telah lebih tertarik dengan berita sensasi dan oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab semua ahli Umno untuk membersihkan persepsi negatif.

Pemimpin Umno itu juga mempersoalkan bagaimana pembangkang boleh mentadbir negara apabila mereka bertelagah sesama sendiri.

"Sesama mereka bergaduh, DAP selaku 'abang besar' mahu PAS dan PKR ikut telunjuk mereka (DAP), yang terkenal dengan politik perkauman dan sentiasa mencurigai kedudukan orang Melayu," tkatanya.

Perbalahan yang tercetus antara DAP dan PAS bukan perkara baru, kerana masing-masing memutuskan untuk mengikut haluan masing-masing selepas muktamar PAS pada bulan Jun lalu.

Pembangkang kemudian membentuk gabungan baru - Pakatan Harapan - tanpa penyertaan PAS.

[Baca berita penuh]

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In