Sidang Dewan Undang Negeri (DUN) Selangor hari ini "meriah" seketika apabila isu penggunaan bahasa kebangsaan dalam tema belanjawan negeri 2016 dipersoalkan.

Perkara itu dibangkitkan oleh Shahrum Mohd Sharif (BN-Dengkil) yang mencelah perbahasan Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan).

Belanjawan negeri Selangor 2016 bertemakan "Membangun smart Selangor yang peduli".

Shahrum menyoal mengapa tema belanjawan menggunakan perkataan "smart" berbanding "pintar".

Ng kemudian menjawab soalan Shahrum dengan mengatakan bahawa kerajaan negeri meraikan kepelbagaian dengan menggunakan bahasa Inggeris dalam tema belanjawan negeri.

Tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan, beberapa ADUN BN kemudian bangun dan meminta Ng menjawab soalan sama ada " smart " merupakan bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.

Kemudian, Yeo Bee Yin (DAP-Damansara Utama) pula bangun dan menyoal mengenai nama yang menjadi ringkasan di sebalik perkataan Umno.

"Saya nak tanya, apakah maksud Umno?" kata Yeo yang kemudiannya dewan menjadi riuh ekoran soalan tersebut.

Apa beza Umno dan DAP?

Menjawab soalan Yeo, Ng kemudian mengatakan bahawa Umno adalah parti yang cakap tak serupa bikin apabila sering melaung memperjuangkan bahasa Melayu tetapi nama parti itu sendiri dalam bahasa Inggeris.

"Soal memperkasakan bahasa ini, Umno cakap tak serupa bikin. Kalau betul pejuang bahasa Malaysia, ubahlah hari ini nama Umno kepada nama bahasa Malaysia. Itu baru cakap serupa bikin, bikin serupa cakap.

Selepas itu, Mat Nadzari Ahmad Dahlan (BN-Batang Kali) pula bangun dan menyoal apakah beza antara makna DAP dan Umno dan meminta Ng menerangkan sama ada maksud parti tersebut dalam bahasa Melayu atau tidak.

"Apa bezanya DAP dengan Umno? Apa maksud DAP? Terangkan pada saya, (bahasa) Melayu atau bukan? Terangkan DAP itu apa," katanya.

ADUN Sekinchan ( gambar ) itu kemudian berkata:

"Bahasa Inggeris. Tapi saya nak beritahu, kita (DAP) tak pernah cerita kita pertahankan bahasa Malaysia bermati-matian, hidup Melayu. Tak ada. Kita mempertahankan perlembagaan," katanya.

Kekecohan itu kemudian berhenti apabila Lau Weng San (DAP- Kampung Tunku) kemudian bangun dan membacakan Peraturan Tetap Mesyuarat 36 (1) yang mengatakan bahawa seseorang ahli perlu menghadkan percakapannya kepada perkara yang dibincangkan sahaja.

Ia dipersetujui oleh Timbalan Speaker DUN Dr Mohd Shafie Ngah yang kemudiannya meminta Ng meneruskan perbahasan mengenai belanjawan Selangor.