Parti Pembangunan dan Keadilan (AKP) yang diasaskan Recep Tayyip Erdogan kembali memimpin Turki bersendirian selepas menguasai majoriti 49.4 peratus undi.

Dengan hampir keseluruhan undi dikira, parti kerajaan itu mendahului pilihan raya umum yang berlangsung semalam dengan penguasaan 315 daripada 550 kerusi parlimen, lapor Al Jazeera .

Di belakang parti yang ditubuhkan atas dasar Islamisme itu adalah parti kiri Parti Republik Rakyat (CHP) dengan 25.4 peratus undi, kumpulan haluan kanan Parti Aksi Nasionalis (MHP) dengan 11.9 peratus serta parti pro-Kurdish Parti Demokratik Rakyat (HDP) dengan 10.7 peratus.

Dengan kemenangan itu, AKP kini mampu membentuk kerajaan sendiri.

Kemenangan itu dicapai di tengah-tengah pergolakan negara jirannya Syria serta ketegangan terbaru konflik Kurdish yang berlangsung sejak 30 tahun lalu.

Erdogan berkata kemenangan itu bermaksud sokongan kepada kestabilan Turki dan mesej kepada pejuang Kurdish bahawa keganasan tidak dapat hidup bersama dalam sebuah negara demokrasi.

Sementara itu, kemenangan AKP turut memberi kesan kepada ahli politik di Malaysia.

Tahniah dari Malaysia

Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ( gambar ) mendoakan kemenangan itu akan menamatkan ketidakstabilan politik di pelbagai rantau.

“Kejayaan AKP adalah kemenangan untuk rakyat Turki dan demokrasi di dunia Muslim,” katanya.

Sementara itu, anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor Datuk Husam Musa berkata kemenangan AKP bukan hanya terhadap untuk rakyat Turki tetapi juga seluruh umat Islam.

“Kami berdoa semoga Allah terus melimpahkan rahmatnya dalam memimpin AKP untuk menunaikan tanggungjawab memimpin Turki untuk lebih berjaya dan ke arah kebangkitan baru ummah,” katanya.