Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San mencadangkan supaya kerajaan negeri Selangor menampung cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di negeri itu.

Beliau berkata, cukai GST memberi kesan kepada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan golongan berpendapatan pertengahan (M40).

Katanya, walaupun tidak dapat menampung secara menyeluruh tetapi sekiranya kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) menampung cukai berkenaan ia tetap akan memberi kesan yang positif kepada rakyat Selangor.

"Cukai GST ini beri kesan kepada B40 dan M40. Tetapi ia boleh beri kesan positif dan impak jika PBT boleh serap cukai GST ini.

"Saya tahu ada PBT di peringkat bandaraya mampu serap semua. (Tetapi) kalau tak mampu, sebahagian pun tak apa. Sekurang-kurangnya beban itu dapat dikurangkan.

“Orang akan rasa lega sikit sebab sekarang macam leher tergantung. Jadi biar orang lega sikit dan boleh bernafas," katanya pada sidang media di lobi Bangunan Annex, Shah Alam.

Bina lebih jambatan

Selain itu, beliau juga yang adalah Timbalan Bendahari DAP Selangor turut mencadangkan supaya kerajaan meneliti dan membina lebih banyak jambatan di negeri itu sebagai alternatif bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Katanya, dengan membina jambatan di sekitar Lembah Klang, ia juga dapat memberi peluang kepada pengguna lalu lintas menggunakan jalan raya tanpa perlu membayar tol.

"Saya cadangkan kerajaan teliti dan bina lebih banyak jambatan contohnya jika ada jambatan dari Sungai Klang ke Taman Medan merentasi Sungai Klang di sepanjang jajaran Sungai Klang dari Kuala Lumpur ke Klang.

"Kita boleh kurangkan kesesakan lalu lintas dan elak tol seperti tol NPE (Lebuhraya Baru Pantai), LDP (Lebuhraya Damansara-Puchong), LKSA (Lebuhraya Kemuning-Shah Alam) dan Kesas.

"Ini beri kesan yang positif kepada kehidupan bandar dan boleh menjadi pemangkin ekonomi Selangor. Kita harus fikir diluar kotak. Fikir macam mana nak bina lebih banyak jambatan selain bersihkan Sungai Klang," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS