Kerajaan berharap usaha membanteras serta membasmi jenayah dalam negara ini perlu dijalankan melalui sikap "buta warna".

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, melalui cara itu penangkapan dan usaha menangani jenayah dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

"Buta warna (bermaksud) bukan hanya orang Melayu atau bukan Melayu sahaja yang ditangkap.

"Buta warna bukan hanya jenis jenayah tertentu yang diambil tindakan.

"Buta warna ertinya, sebarang bentuk jenayah sama ada jenayah terancang atau apa saja aktiviti yang mendatangkan bahaya dalam negara, mesti diambil tindakan," katanya.

Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata demikian ketika berucap dalam sidang meja bulat mengenai pencegahan jenayah di Kuala Lumpur sebentar tadi.

Selain itu, Ahli Parlimen Bagan Datoh itu berkata, isu persepsi negatif masyarakat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadi antara tumpuan khusus untuk ditangani segera.

Zahid berkata persepsi tersebut bukan saja berlaku ke atas PDRM tetapi kepada semua jabatan penguat kuasa.

“Persepsi ini saya rasa bukan berlaku di negara ini semata-mata, dan bukan kepada PDRM saja, tetapi kepada semua jabatan khususnya pihak yang ada penguat kuasa.

“Jadi, saya rasa untuk membetulkan persepsi ini, kita perlu berhubung dengan masyarakat lebih rapat agar mereka faham dan mengetahui keadaan sebenarnya,” katanya kepada pemberita.

Terima kekurangan seadanya

Mengambil contoh soal penurunan kadar jenayah curi kereta yang kini berada pada tahap 40 peratus, Zahid berkata, masyarakat tetap menganggap jenayah di negara ini masih tinggi.

“Sebagai contoh indeks jenayah curi kereta turun sebanyak 40 peratus buat pertama kalinya tapi persepsi orang ramai, jenayah di negara ini masih tinggi.

“Hakikat sebenarnya tidak begitu. Di sinilah peranan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti yang perlu meningkatkan aktiviti mereka.

"Kita perlu membina hubungan dengan masyarakat, beri penjelasan kepada masyarakat berkenaan persepsi yang tidak betul itu tadi,” katanya.

Terdahulu, Zahid menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara Yayasan Pencegahan Jenayab Malaysia dan Persatuan Pegawai-pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa).

MOU tersebut dibuat bagi menjalin kerjasama kedua-dua pihak dalam memupuk perpaduan antara kaum melalui aktiviti dan program kemasyarakatan.

Mengulas lanjut berhubung sidang meja bulat ini, Zahid menyeru pihak yang terlibat menggunakan kesempatan yang ada untuk memperincikan segala perbincangan agar apa saja maklumat mahu pun cadangan dapat diterima dengan sebaiknya.

Memberikan contoh seperti perkahwinan, Ahmad Zahid berkata, setiap orang mengimpikan rumahtangga yang sempurna tetapi pada masa sama mereka perlu bersikap realistik.

"Kita harus buka mata, buka telinga supaya sama-sama boleh terima segala kekurangan mereka," katanya.

Ahmad Zahid juga sempat berseloroh dengan mengatakan pertemuan tadi bukan persidangan 'meja bulat' kerana meja yang ada berbentuk empat segi.