Kerajaan Malaysia mesti telus dalam hubungannya dengan kumpulan-kumpulan pemisah Islam di rantau ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam bahagian akhir wawancara ekslusif dengan malaysiakini .

Ketika ramai yang sepakat bahawa pasukan keselamatan Thai bertindak keterlaluan di selatan Thai, ada juga yang mengatakan masyarakat Islam juga gagal mengutuk keganasan terhadap orang bukan Islam, sepertimana pembunuhan sami Buddha.

Ini adalah masalah yang perlu kita selesaikan dan masyarakat Islam mestilah mengutuk sekeras-kerasnya sebarang ketidakadilan sama ada terhadap orang Islam yang dilakukan oleh orang Islam sendiri ataupun oleh bukan Islam dan juga ketidakadilan yang dilakukan terhadap bukan Islam.

Saya rasa cara Perdana Menteri Thaksin (Shinawatra) mengendalikan isu (selatan Thai) adalah salah. Beliau begitu angkuh, (dan) jika tiada sesuatu dilakukan dengan cepat, wilayah selatan Thai akan menjadi sarang kumpulan pengganas.

Saya tahu sejarah selatan Thai. Selama ini selain (kumpulan pemisah) Pulo (Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani) dan BRN (Barisan Revolusi Nasional) memang tidak ada satu pun barisan yang popular di selatan Thai, termasuk dari kalangan cendiakawan agama Islam.

Tetapi sekarang, sentimen (terhadap pihak berkuasa Thai) begitu memuncak sekali, walaupun jika tidak ada pergerakan pemisah di sana. (Ini kerana) tindakan pasukan keselamatan yang mengganggu dan membunuh mereka (hingga menimbulkan sentimen tersebut.)

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad baru-baru mencadangkan supaya masyarakat Islam di selatan Thai diberi kuasa autonomi. Adakah Datuk Seri juga bersetuju?

Saya rasa terdapat isu-isu di mana masyarakat Islam di Thailand perlu membuat kata-putus. Adakah terdapat cadangan yang bersungguh-sungguh untuk memberi kuasa autonomi kepada masyarakat Islam (di sana)? Setahu saya tidak ada sebelum ini. Jadi, siapalah kita untuk mencadangkan (penyelesaian) sedemikian? Kecuali, anda seorang diktator dan anda fikir anda boleh sesuka hati melakukannya.

Saya rasa ianya preskripsi yang salah. Anda bertanya sama ada saya bersetuju atau tidak. Saya memang terbuka (kepada idea-idea). Tetapi semuanya terpulang kepada mereka sendiri, rakyat Thai. Dalam keadaan tertentu, formula ini boleh berjaya. Tetapi ada sesetengah pihak yang bimbang ia boleh menjejaskan perpaduan (rakyat Thai). Biarlah mereka sendiri yang membuat keputusan (mengenainya).

Setahu Datuk Seri, bagaimanakah hubungan antara kerajaan Malaysia dengan puak pemisah Islam di selatan Thai, selatan Filipina dan Aceh di Indonesia?

Pada masa lalu, terdapat bersefahaman secara tidak langsung antara pihak berkuasa Malaysia dengan beberapa pergerakan pemisah. Tetapi daripada apa yang saya tahu, nasihat Malaysia kepada mereka adalah konsisten iaitu mereka mesti menerima hakikat bahawa mereka perlu beroperasi mengikut sistem yang ada.

Jika mereka mahu kita membangkitkan isu penindasan dan perasaan terpinggir mereka, maka kita boleh melakukannya. Saya juga telah membangkitkan perkara ini dalam perbualan saya dengan (bekas) Perdana Menteri Thailand, Chuan Leekpai, untuk menyatakan kebimbangan saya terhadap masalah yang melanda selatan Thai.

Malah, saya rasa ianya juga merugikan jika anda menggalakkan pergerakan pemisah seperti ini kerana ia turut mendedahkan mereka kepada risiko dibunuh. Jadi saya tidak fikir, pendirian rasmi kerajaan Malaysia ialah untuk menyokong sentimen ini. Tetapi mungkin terdapat di bawah sana mereka yang berlainan pula pandangannya, dan (kerana itu) mereka mesti didisiplinkan.

Malaysia dianggap sebagai punca kepada masalah puak pemisah di rantau ini. Kita tidak langsung menyokong perjuangan puak pemisah di Asia Tenggara sejak beberapa kurun lalu dan ramai ahli JI (Jemaah Islamiah) pula pernah berpangkalan di Malaysia.

Saya rasa kita perlu lebih telus dalam hubungan kita dengan mereka. Aceh mempunyai sejarah mengenai gerakan pemisah kerana kerajaan Perikatan sebenarnya menyokong Hassan di Tiro ketika berlakunya konfrontasi. Mereka menyediakan pangkalan untuknya di sini.

Buku Di Tiro "Demokrasi untuk Indonesia" diedarkan kepada cawangan-cawangan Umno dan ketika itu, bapa saya menjadi Ahli Parlimen jadi saya juga membaca buku tulisannya itu. Saya kagum dengan pandangannya mengenai demokrasi untuk Indonesia. Hanya kemudiannya baru saya sedar bahawa beliau bercakap mengenai gerakan pemisah Aceh.

Dan begitu juga dengan isu Mindanao, di mana kita terbabit secara aktif sewaktu zaman Tun Abdul Razak. Jadi saya fikir kita perlu terus memainkan peranan.

Saya masih teringat kepada pengalaman saya apabila Dr Mahathir menugaskan saya untuk melakukan satu dua perkara, termasuk menjalin hubungan baik dengan pihak berkuasa Indonesia dalam isu Aceh. Kita menyatakan pandangan kita mengenai pembunuhan dan pembunuhan beramai-ramai kerana kita mempunyai bukti yang cukup mengenainya. Jadi kita perlu meneruskan (peranan) tetapi pada masa yang sama, mesti telus.

Keadaan di selatan Thai ketika itu tidaklah seserius di Achen. Di Mindanao pula, pendirian kita amat tegas. Saya masih ingat berjumpa dengan (Nur) Misuari (Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro) dan (Fidel V) Ramos (bekas presiden Filipina) ketika itu, untuk mendesak mereka (Moro) supaya mencari penyelesaian damai.

Datuk Seri menyebut keadaan di selatan Thai tidak begitu serius ketika itu. Mengapa?

Ianya disebabkan oleh rasa curiga yang amat sangat terhadap anggota polis dan pasukan keselamatan yang rasuah dan kejam. (Oleh itu) kita boleh bayangkan keadaan di penjara dan layanan (buruk) terhadap penduduk Islam di sana.

Mereka (pihak berkuasa Thai) sepatutnya telah mengatasi (pergolakan itu) secara politik. Mereka perlu menyediakan penyelesaian politik, bukannya melalui ketenteraan terhadap orang awam. Penyelesaian ketenteraan hanya boleh digunakan terhadap mereka yang menimbulkan keganasan atau jenayah, tetapi ini tidak berlaku.

Saya teringat pada tahun 1973 apabila sekumpulan seramai 13 orang pergi ke sana selepas kejatuhan Thanom Kittikachorn. Saya adalah salah seorang daripada anggota kumpulan tersebut. Saya berada di sana dan bertemu dengan Sulak Sivaraksa (seorang intelektual hak asasi manusia Thai yang terkenal), William Lim dan para pengkritiknya.

Dan saya masih ingat bercakap dengan mereka yang terbabit dalam proses penyediaan draf perlembagaan untuk masyarakat Islam di selatan (Thai). Jelas terlihat rasa kasih dan taat setia mereka kepada Raja, yang begitu mengkagumkan, yang pada saya, amat sukar untuk difahami (oleh orang lain). Anda boleh menyeberangi sempadan dan bercakap kepada (seseorang yang ada sangka) orang Kelantan, tetapi dia begitu kasih dan hormat kepada Raja.

Perkara ini turut diambilkira oleh mereka yang menyediakan draf perlembagaan baru untuk penduduk Thai di wilayah Selatan Thai. Dan pada satu masa ini berlaku kira-kira 30 tahun lalu orang awam pun sudah menjangka bahawa kekacauan akan berlaku sekiranya pasukan keselamatan ditugas untuk mengendalikan masalah di wilayah tersebut.

Kumpulan puak pemisah itu adalah kecil sahaja, Pulo dan BRN ... kumpulan mereka amat kecil. Mereka memilik 20, 30 senjata, berlaku pertempuran di sana-sini tetapi mereka gagal...Tetapi kali ini Thaksin telah gagal dengan teruk sekali.

Rakyat Thai di luar wilayah selatan tidak begitu memahami mengenai Islam dan menyalahkan umat Islam (apabila berlaku keganasan). Ini telah mendorong Thaksin bertindak lebih agresif lagi. Bagaimana negara-negara Islam di Asia Tenggara dapat meningkatkan kefahaman itu di kalangan negara-negara bukan Islam di rantau ini?

Saya telah berbual secara peribadi dengan (bekas Timbalan Menteri Luar Thailand) Putera Sukhumbhand (Paribatra) di sini dan apa yang membimbangkan ialah tindakan Thaksin itu agak popular (di kalangan rakyatnya), sebahagiannya disokong oleh retorik mengenai peperangan menentang keganasan dan ditambah pula dengan sokongan kuat Amerika.

Thailand agak komplek kerana majoriti rakyatnya adalah penganut Buddha manakala masyarakat Islam tinggal di beberapa tempat di Bangkok, beberapa tempat di Chiang Mai, manakala sebahagian besarnya tinggal di selatan. Mungkin terdapat peranan yang boleh dimainkan oleh Malaysia dan Indonesia untuk cuba meningkatkan kefahaman (mengenai Islam) kerana prasangka terhadap Islam begitu kuat sekali. Ini sebahagiannya kerana terlalu kurangnya kefahaman mengenainya (Islam).

Dalam keganasan terbaru di selatan Thai, sekumpulan sami telah dibunuh dan orang ramai keliru sama ada ianya dilakukan oleh puak pemisah atau kumpulan pengganas. Apakah pengganas antarabangsa wujud di wilayah tersebut?

Ramai daripada mereka yang datang dan mengirim mesej, merayu kepada saya supaya membantu mereka (mencari penyelesaian) terhadap perkara tersebut. Mereka (yang datang meminta bantuan) bukanlah pengganas, tetapi ada yang terbabit dalam jenayah dan yang lainnya kerana marah...(kerana) anggota keluarga mereka dibunuh atau diseksa (oleh pihak berkuasa), jadi mereka mahu membalas dendam.

Terdapat banyak kes-kes seperti ini. Saya tidak percaya, pada masa ini, ianya (pengganas yang membabitkan pertubuhan di peringkat antarabangsa), setidak-tidaknya buat masa ini.

Jadi Datuk Seri rasa belum wujud hubungan antara selatan Thai dengan keganasan antarabangsa?

Ya, ianya akan berlaku (terbabit dengan kumpulan pengganas antarabangsa) jika keadaan bertambah buruk, dan saya fikir kita patut menyalahkan Thaksin.Thaksinlah yang mewujudkan keadaan ini melalui tindak-tanduknya selama ini.

Beliau patut tegas mengenai (pembunuhan) sami-sami Buddha...maksud saya...bagaimana anda hendak menjelaskannya? Anda tidak boleh mempertahankannya. Saya rasa kemarahan sudah begitu memuncak. Dan perbuatan (segelintir) penduduk Islam di situ, turut menjejaskan saudara seagama mereka yang lain, kerana perbuatan (mereka) itu membuat orang semakin marah kepada umat Islam.

Baru-baru ini Wan Kader Che Man kelahiran Thailand (kini menjadi penduduk tetap di Malaysia) secara terbuka mengaku beliau adalah pemimpin Bersatu (salah satu gerakan pemisah di selatan Thai) dan ini menimbulkan kecurigaan Thailand terhadap Malaysia kerana (dianggap) melindunginya.

Kita perlu telus dalam membuat keputusan. Masyarakat Islam Thai (mesti) bergerak dalam (lingkungan sempadan) negara Thai dan kita tidak boleh dilihat menyokong mana-mana kumpulan yang bergerak dan mengamalkan dasar seperti puak pemisah. Dan bagi saya inilah isu-isu yang perlu dilihat oleh badan perisikan kita.

Tetapi masalah dengan badan perisikan kita ialah mereka terlalu sibuk mengawasi (pergerakan) dan rumah (pemimpin dan ahli) pembangkang. Mereka sepatutnya mengawasi kumpulan pengganas dan JI, dan mereka yang dipercayai jelas terbabit dalam keganasan. Maksud saya, kita mempunyai pasukan cawangan khas yang begitu efisien tetapi gagal mengesan rangkaian pengganas di sini.

Datuk Seri berada di penjara Sungai Buloh ketika berlakunya serangan 11 September. Bagaimana Datuk Seri mendapat tahu mengenainya?

Pada hari berikutnya ketika pengawal bertukar sif kerja pada jam 7 pagi. Mengikut cerita mereka, ianya berbeza (dengan apa yang sebenarnya berlaku). Mereka memberitahu saya mengenai serangan bom...lebih kurang macam itulah, berlaku di New York. Tapi dari nada percakapan itu, mereka seperti suka (mendengarnya).

Tetapi pada sebelah petangnya, mereka (pengawal penjara) memberitahu saya lebih lanjut mengenainya dan ketika itulah baru saya sedar ramai yang terbunuh. Tetapi pada umumnya, mereka seperti seronok (dengan kejadian itu) kerana kebencian terhadap Amerika sudah terlalu meluap. Tetapi ini tidak betul. Ianya tidak beretika.

Pada pandangan Datuk Seri, apakah punca keganasan?

Saya banyak membaca mengenainya termasuk (tulisan) cendiakawan Perancis Elliot Cohen dan (ahli akademik) Fuad Ajmi. Bagaimanapun, kami mesti nyatakan dengan jelas bahawa keganasan adalah salah. Jika kita mahu menyatakan bahawa mereka yang melakukan keganasan itu adalah mangsa kapda penindasan sistem antarabangsa (yang bersifat menindas), maka tidak akan ada akhirny. (Dengan memberi justifikasi bagi tindakan keganasan), anda telah mengiktiraf (perbuatan tersebut).

Anda mendakwa keganasanitu berlaku akibat daripada sistem yang menindas, tetapi Indonesia kini sudah menjadi sebuah negara demokrasi. Jadi saya rasa kita perlu membataskan aktiviti pengganas kepada (aktiviti) itu sendiri dan mengambil langkah bersama dalam peperangan menentangnya.

Tetapi ia (keganasan) tiada kredibilitinya kecuali masyarakat antarabangsa dan Amerika khususnya, dilihat tidak sekata mengenai (apakah) tindakan (yang perlu diambil). Masalah kita ialah kekurangan kredibiliti kerajaaan, termasuk Amerika, untuk menangani keadaan ini.

Datuk Seri menyebut ada yang gembira dengan serangan 11 September itu. Sama ada kita suka atau tidak, nampaknya seperti ada sokongan popular terhadap tindakan pengganas tersebut.

Itulah sebabnya saya rasa kita mesti menyatakan dengan jelas apakah yang dimaksudkan dengan keganasan. Sama ada ia popular atau tidak, kita mesti menyekatnya. Ini bukanlah soal pandangan umum, tetapi anda juga mesti menyelesaikan isu-isu yang berkaitan dengan persepsi dan sentimen popular (mengenai keganasan).

Itulahsebabnya mengapa mereka mahu melihat Amerika bersikap adil dan saksama dalam mengendalikan krisis di Timur Tengah dan di Iraq. Jika tidak, saya tidak nampak bagaimana kita boleh memenangi hati rakyat, yang merupakan satu isu besar.

Saya rasa apa yang kita perlu lakukan ialah untuk memberi definasi yang jelas bagi keganasan dan menghadkan stategi dan serangan ke atas kumpulan-kumpulan (pengganas) ini sahaja.

Kemudian, dalam dimensi etika-politik, anda mesti melakukan apa yang betul! Negara-negara mestilah mengamalkan demokrasi, dan dengan itu rakyatnya mempunyai ruang bagi kebebasan bersuara. Ini akan dapat mengurangkan masalah pengganas, tetapi tidak cukup untuk menghapuskan terus. Ia sahaja, bukanlah merupakan langkah mutlak untuk menentang keganasan.

Terdapat pandangan yang mengatakan mereka yang melakukan keganasan sewenang-wenangnya itu mempunyai kaitan dengan asal-usul tradisi dan teologi Islam. Apa pandangan Datuk Seri?

Mereka (yang terbabit melakukan keganasan sepanjang sejarah Islam) adalah pengikut ajaran sesat. Kalifah kedua, ketiga dan keempat yang bijaksana, semualah dibunuh...jadi memang ada sejarah keganasan, tetapi ianya tidak pernah dibiarkan.

Dalam ajaran mengenai teologi, dan malah dalam sejarah pun, ia (tindakan keganasan) dianggap sesat dan tidak bermoral. Malah kewujudan Shiite pun sebenarnya adalah reaksi terhadap sikap penindasdan pemerintah Abassiyah. Dan kemudiannya, mereka mengetengahkan pembunuh yang berasal-usulkan Islam. Tetapi mereka ini bukan dari aliran perdana. Mereka ini golongan terpinggir akibat daripada penindasan.

Banyak permulaan (kepada keganasan) dalam sejarah Islam adalah akibat daripada sikap penindasan kerajaan, termasuk empayar terakhir Islam empayar Othmaniyah. Masalahnya dengan pendokong Islam ini ialah sekiranya ia kerajaan Islam dan mereka melaksanakan undang-undang syarikah serta hukum hudud, mereka secara automatik dipertahankan.

Keadaan ini mendorong pendokong Islam yang sekular dan liberal untuk menyokong (mereka seperti) Mustapha Kamal Attaturk, yang juga seorang pemerintah yang zalim. Jadi kita berdepan dengan pilihan antara pemerintah kejam yang Islamik dan pemerintah kejam yang sekular. Tetapi bagi saya, ini perlu diperbetulkan.

Mengapa masyarakat Islam terlalu dihantui oleh ancaman dan cabaran dari luar, terhadap pegangan agama, identiti dan kepentingan mereka?

Regim autoritarian menggalakkan persepsi seperti ini bagi mewajarkan kekuasaan mereka. Saya yakin sekiranya kita menggalakkan kesederhanaan dan unsur-unsur kredibiliti dalam masyarakat Islam, pandangan mereka akan didengar dan diberi perhatian.

Saya kritikal terhadap Amerika tetapi saya juga memberi alasan mengapa saya berkata demikian. Dalam ucapan saya, saya akan memberi tumpuan sama rata kepada orang Islam dan bukan Islam. Istilah kuncinya ialah persaudaraan. Satu (jenis persaudaraan) adalah (saudara) seagama seperti yang dikatakanoleh Kalifah keempat (Ali bin Abi Talib) dan satu lagi ialah sesama manusia.

Istilah persaudaran boleh digunakan untuk kedua-duanya. Mengapa tidak kita ambil pendirian ini, daripada mengambil pendirian (mengkategorikan mereka mengikut) Islam atau kafir. Jadi ianya adalah soal pendekatan, dan bagaimana anda bercakap mengenai isu-isu agama.