Peneroka Felda Labu Sendayan mungkin kehilangan terus hakmilik
Kerajaan negeri tidak boleh memulangkan semula geran tanah kepada peneroka Felda Labu dan Sendayan walaupun ianya gagal dimajukan sebagai kawasan perindustrian, kerana statusnya telah ditukar dari tanah pertanian kepada tanah komersil.
Kerajaan negeri tidak boleh memulangkan semula geran tanah kepada peneroka Felda Labu dan Sendayan walaupun ianya gagal dimajukan sebagai kawasan perindustrian, kerana statusnya telah ditukar dari tanah pertanian kepada tanah komersil.
Selepas kerajaan negeri mengambil alih tanah rancangan itu untuk projek tersebut pada 1993, statusnya ditukar kepada komersil. Berikutan itu, harga tanah tersebut ialah RM5,000 satu kaki persegi, berbanding hanya RM2.90 sebelumnya.
Kerajaan negeri kemudiannya menyerahkan kawasan tersebut yang membabitkan kira-kira 500 keluarga peneroka, untuk dimajukan oleh Lembaga Tabung Haji (Labu) dan Naluri Berhad (Sendayan).
Bagaimanapun, projek pembangunan Felda Labu Sendayan itu yang dilaksanakan sewaktu Tan Sri Isa Samad menjadi Menteri Besar, terbengkalai kerana kemerosotan ekonomi pada 1997.
"Tidak mungkin kerajaan negeri akan memulangkan hakmilik kepada peneroka kerana kesemua mereka, masing-masing telah menerima bayaran pendahuluan RM120,000 semasa perjanjian penyerahan geran kepada Kerajaan Negeri Sembilan pada 1993," kata sumber-sumber yang terbabit secara langsung di peringkat awal pelaksanaan projek tersebut.
Mengikut perancanganya, kawasan tersebut akan dimajukan sebagai perindustrian baru dan juga penempatan bagi pekerja Penerbangan Malaysia (MAS), Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam yang beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Bagaimanapun, projek itu tergendali apabila Tabung Haji dan Naluri menghadapi masalah kewangan kerana kemerosotan empat tahun kemudiannya.
Menurut sumber-sumber tersebut, pembayaran RM120,000 itu adalah sebahagian daripada pampasan harga tanah yang berjumlah RM1.2 juta untuk setiap keluarga. Setiap keluarga mempunyai 10 ekar tanah.
Bina banglo
Oleh kerana mengharapkan baki bayaran pampasan tersebut, ramai peneroka terbabit telah membelanjakan wang pendahuluan itu untuk membeli kereta, rumah banglo dan membuat pelaburan.
Bagaimanapun, mereka menghadapi masalah apabila projek tersebut tergendala dan mereka tidak memperolehi baki bayaran pampasan tersebut.
"Sepatutnya mereka tidak boleh menuntut semula geran tanah kerana pemaju (Naluri dan Tabung Haji) telah membuat bayaran berjumlah RM120,000. Kalau mengikut harga tanah pertanian pada masa itu, nilainya hanyalh RM5,000 untuk 10 ekar.
Sebelum ini, malaysiakini menyiarkan rungutan 500 peneroka Felda Labu Sendayan yang terlibat dengan projek pembangunan semula kawasan tersebut yang kehilangan geran tanah kerana disimpan oleh kerajaan negeri.
Ketiadaan geran tanah itu membimbangkan mereka kerana ramai yang terlibat dahulu telahpun meninggal dunia. Mereka telah melakukan pelbagai cara termasuk mengadu kepada Menteri Besar yang baru, Datuk Seri Mohamad Hasan, tetapi gagal.
Menurut sumber itu lagi, bagaimanapun, Isa yang kini menjadi Menteri Wilayah Persekutuan dikatakan sedang berusaha untuk membantu peneroka yang terlibat.
Menurutnya lagi, salah satu pilihan untuk membantu peneroka ialah dengan meneruskan projek pembangunan di Felda Labu Sendayan seperti yang dirancangkan kerana telah banyak modal yang sudah dibelanjakan.
Sebelum ini projek pembangunan yang sama membabitkan tanah peneroka di Sungai Buaya, Selangor dan Felda LBJ Negeri Sembilan juga terbengkalai.
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.