Najib beri jaminan bekerjasama dengan Suhakam
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa beliau akan memberi kerjasama dan sokongan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa beliau akan memberi kerjasama dan sokongan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).
Pesuruhjaya Suhakam, Prof Dato' Mohd Hamdan Adnan berkata, Najib memberi jaminan tersebut dalam satu pertemuan di Pejabat Suhakam pada 18 Oktober lalu.
Katanya, Najib mengakui kewujudan Suhakam telah membuka saluran kepada masyarakat untuk menyuarakan masalah mengenai hak asasi mereka selain meningkatkan kesedaran mengenainya di Malaysia.
"Najib juga mahu mengadakan perbincangan secara berkala dengan Suhakam demi kepentingan hak asasi manusia di negara ini. Beliau juga meminta laporan Suhakam dihantar ke pejabatnya untuk pertimbangan Jemaah Menteri, jika perlu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam perjumpaan itu, Suhakam ketuai oleh pengerusinya Tan Sri Abdul Talib Othman.
"Perjumpaan dan perbincangan secara berkala dengan Najib akan membantu meningkatkan lagi keberkesanan Suhakam dalam memaju dan melindungi hak asasi manusia di Malaysia," kata Abu Talib.
Isu tanah Orang Asli
Suhakam kata Hamdan, sedang menggubal pelan tindakan mengenai hak asasi manusia sebagai panduan manakala Najib sedia membawa perkara itu kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan.
Turut dibincangkan dalam dalam pertemuan tersebut ialah mengenai undang-undang pencegahan khususnya berkaitan dengan penahanan tanpa bicara dalam Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) 1960 yang wajar dikaji.
Turut dibangkitkan ialah isu hak milik tanah dan penglibatan orang Asli di mana Suhakam mencadangkan kerajaan merujuk kepada suratcara dan pengisytiharan antarabangsa dalam proses merangka dan menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan kepentingan mereka.
Pertemuan itu juga menyentuh mengenai isu kebebasan media dan penubuhan Jawatankuasa Aduan Media di bawah Kumpulan Kerja Aduan dan Siasatan bagi menerima aduan berhubung dengan salah laku media.
Selain itu, Najib juga dimaklumkan mengenai masalah kesesakan dalam penjara dan pusat tahanan pendatang haram, termasuk aduan tahanan Islam yang tidak diberi peluang solat Jumaat.
Najib memberi jaminan membantu untuk menyelesaikan aduan-aduan tersebut dengan membawa kepada pihak yang berkenaan.

