3 NGO mohon halang kerajaan tandatangani TPPA
Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini memfailkan permohonan mendapatkan semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan menerima Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).
Permohonan berkenaan dibuat supaya mahkamah tinggi mengeluarkan perintah melarang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan kerajaan meneruskan proses menandatangani TPPA sehingga semakan didengari dan diputukan mahkamah.
Menurut Presiden Persatuan Teras Pendidikan dan Kebajikan Melayu Malaysia (Teras), Azmi Hamid yang ditemui selepas memfailkan permohonan itu berkata, TTPA merupakan alat perhambaan Barat terhadap negara ini.
Kata Azmi, perjanjian itu juga sekaligus menghapuskan kedaulatan negara.
"TTPA ini adalah penjajahan, juga perhambaan ke atas negara. Ini bermakna TTPA ini menghapuskan kedaulatan negara," kata Azmi dalam kenyataan hari ini.
Minta dedah kandungan
Sementara itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, perjanjian TTPA juga satu usaha untuk mengutamakan pihak luar berbanding kepentingan rakyat dan negara ini.
"Ia usaha untuk meletakkan terma-terma tertentu yang memastikan kepentingan luar lebih diutamakan daripada keperluan negara," katanya.
Satu lagi NGO yang membuat permohonan itu adalah Urusetia Menangani Gejala Sosial (UNGGAS Malaysia).
Ketiga-tiga NGO itu diwakil peguam Haniff Khatri Abdullah.
Antara tuntutan dibuat ialah mewajibkan responden mededahkan teks perjanjian TTPA dan faedah yang bakal diperolehi kepada umum.
Rundingan TPPA dimuktamadkan pada 5 Oktober lalu di Atlanta, AS dan teks dokumen itu dijangka disiapkan penghujung bulan ini untuk dibentangkan di parlimen.
Malaysia perlu membuat keputusan untuk menandatangani perjanjian itu selewat-lewatnya pada dua minggu pertama 2016.
Rundingan TPPA yang julung kali dilancar pada 2005, membabitkan 12 negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, AS dan Vietnam

