Perdebatan secara langsung mengenai isu 1MDB yang dijadualkan Jumaat ini telah dibatalkan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Ini kerana, katanya Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua tidak lagi akan berdebat.
"Tiada lagi (tawaran). Tawaran hanya untuk dua individu, Pua dan Arul. Apabila salah seorang mereka menarik diri, tawaran siaran langsung tiada lagi," katanya kepada pemberita di luar lobi Parlimen hari ini.
Beliau berkata tawaran debat secara langsung tidak akan dilanjutkan kepada pengganti Pua, walaupun Arul Kanda bersetuju.
"Kami bersetuju untuk beri kepada dua individu ini sahaja. Ini bukan debat antara dua parti, ini debat antara dua individu yang mencabar satu sama lain," katanya.
Sebelum ini, Pua yang adalah anggota Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negara (PAC) mencabar Arul Kanda berdebat dengannya secara langsung mengenai isu 1MDB.
Susulan cabaran itu, Salleh berkata RTM sedia menyiarkannya secara langsung.
Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia kemudiannya mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa Pua perlu berundur dari PAC terlebih dulu jika mahu berdebata.
Katanya, pembabitan Pua dalam debat itu boleh menjejaskan siasatan PAC ke atas 1MDB.
Berikutan arahan itu, Pakatan Harapan mengumumkan akan mendapatkan ahli parlimen pembangkang lain yang bukan anggota PAC bagi menggantikan Pua supaya debat yang dijadualkan Jumaat ini boleh diteruskan tanpa Pua berundur dari jawatankuasa berkenaan.
