Keputusan UTM dianggap tidak demokratik
Pergerakan pelajar hari ini mengkritik keras tindakan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) membatalkan kemenangan 17 wakil pelajar, yang menurut mereka tidak demokratik dan tidak munasabah.
Pergerakan pelajar hari ini mengkritik keras tindakan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) membatalkan kemenangan 17 wakil pelajar, yang menurut mereka tidak demokratik dan tidak munasabah.
Wakil Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), sebuah pertubuhan pelajar peringkat kebangsaan, Ramadhan Fitri Ellias mempersoalkan tindakan tersebut memandangkan kesemua 17 calon terbabit dipilih oleh pelajar UTM dalam pilihanraya kampus September lalu.
"Bagi SMM, tindakan itu tidak munasabah. Keputusan pelajar memilih kesemua 17 mereka serta keputusan pemilihan lalu, mesti dihormati, tidak kira apa juga tuduhan yang dikenakan oleh pihak berkuasa universiti terhadap mereka," katanya ketika dihubungi.
Tujuh belas pelajar terbabit adalah sebahagian daripada 27 calon yang didakwa sebelum ini. Mereka didapati bersalah melanggar peraturan pemilihan selepas pihak UTM mendapati mereka meminda poster kempen masing-masing.
Mereka didapati menukar gambar asal poster yang diambil oleh jurugambar yang dilantik oleh universiti, dengan gambar mereka sendiri. Kumpulan calon tersebut yang dikatakan 'antikerajaan' berbuat demikian kerana tidak berpuashati dengan kualiti gambar asal tersebut.
Sementara itu, sebuah lagi pergerakan pelajar, Gerakan Demokratik Pelajar dan Belia Malaysia (Dema) pula berkata, peraturan pilihanraya yang menurut pihak universiti, melarang calon menggunakan gambar yang diambil sendiri, melanggar prinsip demokrasi yang adil dan pilihanraya yang bebas.
"Lagi pula, mereka (pihak berkuasa UTM ) telah menyalahgunakan kuasa di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dalam menghukum pelajar tanpa bukti dan hujah yang kuat," kata setiausahanya, Ginie Lim ketika dihubungi.
Ditolak majoriti pelajar
Sikap tidak konsisten pihak universiti mengendalikan kes tersebut juga dipersoalkan oleh Dema kerana tujuh daripada mereka yang menghadapi tuduhan yang sama, didapati tidak bersalah.
Semalam, Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTM, Prof Alias Mohd Nor mendedahkan bahawa tempat mereka yang didapati bersalah, akan digantikan dengan calon yang mendapat undi kedua tertinggi.
Alias juga menolak dakwaan bahawa universiti telah mengenepikan perwakilan 'antikerajaan' untuk mengetengahkan calon yang menyokong kerajaan.
Beliau menjelaskan bahawa 14 dari 17 kerusi yang kosong sekarang akan diisi oleh mereka yang mendapat undi kedua terbanyak manakala tiga lagi akan dibiarkan kosong sehingga pilihanraya kampus akan datang.
Beliau juga menegaskan bahawa pihak universiti bertindak mengikut amalan demokrasi.
Ramadhan bagaimanapun berkata, adalah tidak adil untuk memilih mereka yang mendapat undi kedua tertinggi kerana "mereka ditolak oleh majoriti pelajar" dan menggesa supaya pilihanraya baru diadakan.

