Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lelaki bayar nazar dapat anak dengan nyawa sendiri
Diterbitkan:  Nov 5, 2015 11:26 AM
Dikemaskini: 3:29 AM

GLOBAL Selepas berdoa lama, keinginan seorang lelaki untuk mendapat zuriat akhirnya terkabul. Isterinya disahkan hamil dengan anak lelaki.

Justeru untuk menunaikan nazar, lelaki berusia 24 tahun itu melompat ke sebatang terusan dengan perasaan terlalu gembira - tanpa menyangka ia kemudian berakhir dengan tragedi mati lemas.

Dalam kejadian di daerah Ron Phibun di wilayah Nakhon Si Thammarat malam Selasa lalu.

Media semalam melaporkan, mayat lelaki tersebut ditemui penyelam di terusan Nai Klong di kawasan Khuan Plang.

Pegawai polis berkata, lelaki itu dikenali sebagai Naruechart Aksorn.

Katanya, kejadian itu dimaklumkan kepada polis kira-kira jam 10.30 malam dan ketika kejadian air mengalir deras selepas kawasan berkenaan dilanda hujan lebat berhari-hari.

"Penyelam mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menemui mayat Naruechart," katanya.

Bantuan 'alam ghaib'

Berdasarkan siasatan polis, Naruechart dilaporkan berdoa dan meminta bantuan 'alam ghaib' untuk mencapai impiannya memperoleh zuriat.

Bagi menunjukkan kesungguhannya dia bernazar untuk melompat ke dalam terusan jika doanya terkabul.

Tidak lama kemudian isteri Naruechart disahkan hamil.

Pada tengah hari Selasa dia membawa isterinya untuk menjalani pemeriksaan di sebuah hospital tempatan dan doktor mengesahkan wanita itu hamil anak lelaki.

Selepas pulang Naruechart mengumumkan berita gembira itu kepada saudara-mara dan jirannya.

Apabila malam dia keluar rumah tetapi tidak pulang selepas beberapa jam, mendorong orang ramai keluar mencarinya.

Mereka menemui Naruechart berdiri di tebing sebuah jambatan merentasi terusan Nai Klong dan memaklumkan dia akan menunaikan nazarnya.

Dengan disaksikan saudara-mara dan jiran, Naruechart melompat tetapi terus tidak kelihatan selepas itu.

Lihat Komen
ADS