Usul tak percaya Wan Azizah di Kertas Perintah Parlimen
Usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dibawa pleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kini dimuatkan dalam Kertas Perintah Parlimen.
Walau bagaimanapun, usul itu adalah yang terakhir dalam senarai dan berada pada nombor 31.
Usul undi tidak percaya yang difailkan oleh Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan) sebelum ini, masih dalam senarai dan berada pada nombor 27.
Usul itu pertama kali difailkan oleh Hee tetapi Pakatan Harapan kemudian memutuskan bahawa Wan Azizah seharusnya membentangkannya.
Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia mencadangkan kepada pembangkang supaya menyenaraikan ahli parlimen yang akan mengundi menentang Najib.
Katanya, tindakan itu bagi membolehkannya mencadangkan kepada kerajaan supaya memberi keutamaan kepada usul itu.
Di bawah peraturan Dewan Rakyat, usul kerajaan didahulukan dan mesti dibentangkan terlebih dahulu.
Selain usul undi tidak percaya, satu lagi cara yang dicadangkan untuk menumbangkan Najib adalah mengundi tidak menyokong Bajet 2016.
Bagaimanapun, pembangkang tidak bersatu dalam perkara ini, dengan PAS berkata ia akan berkecuali dalam undian terhadap bajet.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
