Berdasarkan peruntukan undang-undang, Pertubuhan Silat Kebangsaan (PESAKA) boleh dikenakan tindakan, termasuk digantung dan denda, jika terbukti terlibat dalam acara politik.

Perkara itu dijelaskan dalam jawapan bertulis Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin di parlimen, sebagai reaksi kepada soalan wakil pembangkang Er Teck Hwa (DAP-Bakri).

Khairy bagaimanapun tidak menjelaskan dengan pasti sama ada persatuan yang dipimpin oleh bekas ketua menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam itu akan dikenakan tindakan.

Penganjuran program seni mempertahankan diri tertakluk bawah Akta Pembangunan Sukan (APS) dan didaftarkan dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan.

Khairy ( gambar ), anggota Parlimen Rembau berkata, PESAKA perlu mematuhi perlembagaan badan itu untuk membangunkan sukan silat.

Jelas ketua Pemuda Umno itu lagi, Seksyen 2 APS menyatakan bahawa penganjuran pertandingan, seminar, klinik atau kursus sukan tidak harus melibatkan himpunan berunsur politik.

Seksyen 39 akta yang sama memperuntukkan denda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya jika didapati bersalah.

Er minta Khairy menyatakan apakah locus standi yang membenarkan PESAKA menjadi penganjur himpunan 16 September lepas.

Perhimpunan itu, menurut Er lagi jelas bermotifkan politik serta didakwa sarat dengan mesej perkauman.