Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Wira PERKASA mempersoalkan kenyataan Menteri Kesihatan Datuk S Subramaniam yang ingin membanteras penjualan cecair nikotin tanpa lesen yang digunakan untuk rokok elektronik.

Menurutnya, kerajaan akan merampas rokok mengandungi cecair nikotin jika dijual tanpa lesen.

Perkara ini sebenarnya telah dibangkitkan oleh Kementerian Kesihatan sejak tahun 2013. Namun hingga kini masih tidak mempunyai ketetapan dari segi perlaksanaan penguatkuasaan mengikut Akta Racun 1952. Soalnya mengapa sekarang?

Setelah beberapa tahun penjualan nikotin di dalam rokok elektronik, baru sekarang mereka mahu mengambil tindakan. Apa sebenarnya yang mereka mahukan?

Selepas jualan rokok eletronik meningkat dan memberi hasil yang lumayan kepada peniaga barulah kerajaan mencari pelbagai kaedah untuk membanteras jualannya.

Penjualan rokok tembakau tidak disyaratkan dengan lesen yang ditetapkan. Sesiapa juga boleh menjual rokok tembakau ini.

Nampaknya mereka masih tetap mengganggu pihak yang membantu dalam kempen berhenti merokok yang dianjurkan melalui jualan rokok elektronik.

Sekiranya penjualan nikotin untuk rokok elektronik dibuat tanpa lesen sekalipun, apakah kesan yang teruk akan berlaku pada penggunanya? Saya difahamkan penggunaan nikotin dalam kandungan rokok elektronik adalah terkawal.

Ia tidak boleh digunakan sembarangan tanpa garis panduan ditetapkan. Pembekal rokok elektronik pun tidak dapat mendapatkan bekalan nikotin dengan mudah di pasaran.

Setakat ini kita belum pernah mendengar kes yang melibatkan penggunaan nikotin yang tidak terkawal. Jadi apa masalah yang dihadapi sebenarnya?

Bagaimana pula dengan penjualan nikotin di dalam rokok tembakau?

Saya juga ingin menyangkal kenyataan yang dibuat oleh Dr Lokman Hakim Sulaiman yang menyatakan rokok elektronik dan vape adalah dua produk berbeza. Rokok elektronik dan vape sebenarnya adalah jenis produk yang sama.

Rokok elektronik diperkenalkan sekitar tahun 2009. Selepas lima generasi barulah rokok elektronik diperkenalkan dengan gelaran vape. Komponen dan proses terhadap kedua-dua alat ini adalah sama.

Pengunaan cecair nikotin terhadap rokok elektronik dan vape boleh dikawal jadi tidak timbul isu beza rokok elektronik dan vape dan bahaya nikotin dalam rokok elektronik dan vape.

Saya menggesa kepada Kementerian Kesihatan agar mengeluarkan garis panduan yang lengkap bagi pembekal dan pengguna rokok elektronik. Jika perlu gunakan peruntukan undang-undang yang melibatkan akta yang sedia ada, mohon ia diperjelaskan kepada semua pihak agar tidak timbul lagi kekeliruan.

Jika dibandingkan bahaya antara rokok tembakau dan rokok elektronik saya melihat lebih bahaya kesan rokok tembakau kepada masyarakat umum.

Kerajaan perlu membuat kajian menyeluruh dan penjelasan ke atas kesan bahaya rokok elektronik, seperti yang dijalankan ke atas rokok tembakau.

Kalau kerajaan ingin mencegah, seharusnya tindakan itu sudah lama dijalankan. Jika ingin mencegah, lakukan perkara yang sama terhadap jualan rokok tembakau, barulah adil dan saksama.


IRWAN FAHMI IDERIS ketua Wira PERKASA.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS