Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Polis tidak akan mendedahkan sebarang maklumat berhubung Xavier Andre Justo, yang dipenjarakan kerana cuba memeras PetroSaudi International - syarikat usahasama 1MDB pada 2009.

“Pihak polis tidak berhasrat untuk mendedahkan sebarang maklumat berkaitan perkara ini kerana khuatiri boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan,” tegas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi.

Zahid ( gambar ) berkata demikian menjawab pertanyaan Mohamed Hanipa Maidin (AMANAH-Sepang) minta kerajaan menyatakan atas apakah Justo mengubah fail komputer seperti dilaporkan media pada 24 Jun.

Bagaimanapun dalam jawapan bertulis Zahid di Parlimen, timbalan perdana menteri itu berkata pihaknya memandang serius usaha pihak tertentu untuk menjatuhkan pihak kerajaan.

Malah, tegas anggota Parlimen Bagan Datoh itu berkata polis sedang giat menjalankan siasatan berkaitan laporan bertarikh 18 Julai bawah Seksyen 124 (B) dan 124 (J) Kanun Keseksaan.

Justo, seorang warga Switzerland, sedang menjalani hukuman penjara tiga tahun di Thailand kerana cuba memeras bekas majikannya PetroSaudi.

Justo dilapor mengaku mencuri data berjumlah 90 gigabyte termasuk e-mel dan dokumen daripada PetroSaudi sebagai sebahagian daripada percubaan untuk memeras.

Apabila percubaan pemerasan itu gagal, dia menyerahkan data berkenaan kepada pihak lain yang dikatakan menawarkan kira-kira AS$2 juta kepadanya.

Dia ditangkap pada 22 Jun lepas di pulau Koh Samui di selatan Thailand sebelum menerima bayaran itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS