Rebat Deepavali 20% di empat lebuh raya
Pengguna rangkaian lebuh raya Plus yang membayar tol secara elektronik akan menikmati rebat 20 peratus sempena cuti perayaan Deepavali yang akan datang.
Ia melibatkan Lebuh Raya Utara-Selatan, Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Jambatan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).
Ketua Pegawai Operasi Plus Malaysia Berhad Mohammad Fuad Khusairi berkata ia ditawarkan kepada pengguna kenderaan kelas 1 (kelas ringan kecuali teksi) yang membayar melalui kad Plusmiles, Touch ‘n Go dan Smarttag.
Fuad nerkata, pada 10 November, pengguna perlu membayar tol seperti biasa dan rebat akan dimasukkan ke dalam kad masing-masing antara 15 Disember 2015 sehingga 14 Mac 2016 di semua pusat khidmat pelanggan Plus.
Pemberian rebat itu, menurut Plus, sebagai meraikan sambutan Deepavali, selain strategi menggalakkan orang ramai beralih kepada sistem pembayaran elektronik.
“Rebat tol ini boleh dinikmati sepanjang hari dan tidak terhad pada tempoh masa tertentu sahaja,” jelas Fuad.
Rebat bagaimanapun tidak diberikan untuk pengguna yang membayar tol di Plaza Tol Tanjung Kupang, Bukit Kayu Hitam, Bangunan Sultan Iskandar dan Jambatan Pulau Pinang.
Plus menjangkakan jumlah trafik di Lebuh Raya Utara-Selatan akan meningkat sebanyak 8 peratus kepada 1.4 juta kenderaan setiap hari antara 6 November hingga 15 November sempena Deepavali.
Ini berbanding 1.3 juta kenderaan sehari pada hari-hari biasa.

