'Sotong masak tepung gantikan Cina DAP penakut'
Sebuah portal pro-Umno hari ini membidas tindakan pembangkang yang menggantikan ahli Parlimen DAP Tony Pua dengan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli untuk berdebat dengan Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy.
Menurut MyKMU.Net, tindakan itu membuktikan bahawa "Cina DAP" adalah penakut.
Portal yang adalah penyokong tegar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tutut mempersendakan Rafizi dengan melabelkannya sebagai 'sotong masak tepung'.
“Keputusan pembangkang untuk mengantikan Pua dengan sotong masak tepung, si Rafizi dalam sesi debat bersama Arul Kanda membuktikan bahawa Cina-Cina DAP ini hanya pandai bercakap sehala, bila kena cabar balik, cicir semua apa yang sepatutnya duduk dalam kantung.
“Yang banyak tabur fitnah pasal 1MDB ialah Pua, yang jumpa Justo ialah Pua, yang bekerjasama dengan Tun Mahathir dan sebagainya juga Pua, tapi bila debat, ganti dengan Rafizi.
“Sotong botak ni tahu apa, dia sendiri pun tengah kira hari nak ke penjara sebab langgar BAFIA,” kata portal itu.
Semalam, Rafizi dilaporkan berkata beliau tidak mengharapkan sangat untuk berdebat dengan Arul Kanda dan secara berseloroh berkata bahawa tidak baik bagi dua lelaki botak muncul di televisyen.
“Baru saja semalam Rafizi mengaku dua orang botak tidak boleh muncul di TV berdebat, dah hari ini diumumkan dia pulak ganti Pua, so apa dah jadi bab botak tu?
“Ini satu lagi dungu dan tak konsisten oleh pembangkang, bila Cina DAP takut, ganti dengan Melayu PKR, apa punya dol pun tak tahu,” katanya.
MyKMU.Net juga mencadangkan supaya Arul Kanda membatalkan sahaja keputusan untuk berdebat dengan pembangkang susulan penggantian itu.
“Memandangkan Pua tidak terlibat, Arul pun perlu tarik diri, lagipun Arul adalah saksi dalam prosiding PAC dan dari segi prejudisnya, Arul tak patut terlibat juga,
“(Speaker Dewan Rakyat) Pandikar (Amin Mulia) pun ada sebut hari itu. Ini semua perangkap politik sebab Rafizi memang diketahui bukan nak cari jalan selesai tapi manipulasi keadaan,” katanya.
Portal itu juga mengingatkan bahawa Umno dan BN sebenarnya berurusan dengan golongan-golongan jahil yang membentuk majoriti penyokong pembangkang.
“Betul tak betul bukan isunya sekarang tapi siapa yang boleh dapat untung lebih banyak, Arul dan 1MDB janganlah terperangkap dalam perkara ini,” katanya lagi.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.