S'gor akan kaji semula gaji bos SYABAS
Selangor akan mengkaji semula gaji pengerusi eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) selepas Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengambil alih perkhidmatan air negeri.
Menteri Besar Mohamed Azmin berkata, semakan itu akan dibuat memandangkan terdapat kritikan mengenai pengurusan tertinggi SYABAS memperoleh gaji besar yang didakwa tidak munasabah.
"Kita tidak mahu pengurusan air Selangor membebankan pengguna dan rakyat.
"Sebab itu pengurusan tertinggi SYABAS yang baru ditadbir oleh Air Selangor pada prinsip kebertanggungjawaban bagi menjamin perjalanan lancar seperti yang telah dirancangkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Yeo Bee Yin (DAP-Damansara Utama) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Yeo bertanya kepada Azmin sama ada gaji pengerusi eksekutif SYABAS akan dikaji semula selepas pengambilalihan penstrukturan air di Selangor.
Bermula Mac 2016 pengguna air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan bertukar pembekal baharu kepada Air Selangor.
Perubahan ini berikutan kerajaan Persekutuan dan Selangor menandatangani empat perjanjian dan penyerahan lesen individu kepada Air Selangor.
Proses penstrukturan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri Selangor dimuktamadkan September lalu.

