Isa: Tabung Haji dan Naluri enggan teruskan projek Labu Sendayan
Projek pembangunan moden yang dicadangkan di kawasan Felda Labu Sendayan, Negeri Sembilan gagal dilaksanakan apabila pemaju enggan membiayai perojek tersebut kerana kemeleseten ekonomi negara pada tahun 1997.
Projek pembangunan moden yang dicadangkan di kawasan Felda Labu Sendayan, Negeri Sembilan gagal dilaksanakan apabila pemaju enggan membiayai perojek tersebut kerana kemeleseten ekonomi negara pada tahun 1997.
Dua pemaju berkenaan ialah Tabung Haji dan Naluri Berhad.
Berikutan itu, projek untuk memajukan Felda Labu Sendayan sebagai pusat komersil dan penempatan penduduk, tergendala dan terhenti.
Malaysiakini difahamkan bahawa perbelanjaan bagi keseluruhan projek tersebut ialah RM500 juta, dengan Tabung Haji dan Naluri masing-masing membiayai RM250 juta.
Ia termasuk bayaran pampasan kepada kira-kira 500 keluarga peneroka, kos pembinaan infrastruktur untuk membangunkan kawasan itu sebagai pusat penempatan kakitangan Penerbangan Malaysia (MAS), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam dan pekerja yang berpusat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketika ditemui
malaysiakini
di Kuala Lumpur semalam, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad mengakui projek menghadapi masalah apabila Tabung Haji dan Naluri kekeringan wang kerana kemelesetan ekonomi pada pertengahan tahun 1997.
"Akibatnya, mereka hanya mampu membayar sebahagian daripada kira-kira RM1 juta yang sepatutnya mereka bayar kepada peneroka terbabit, dengan projek pembangunan komersil Felda Labu Sendayan.
"Setiap keluarga peneroka mendapat bayaran awal RM120,000 dan selepas itu Tabung Haji dan Naluri tidak membuat bayaran seterusnya. Apabila saya tanya, mereka (Tabung Haji dan Naluri) kata mereka tidak ada wang kerana kemelesetan ekonomi," kata Isa.
Penukaran status kawasan
Sejak tahun 1998, projek pembangunan Felda Labu Sendayan terbengkalai kerana pemaju tidak dapat lagi mengeluarkan wang untuk meneruskannya.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Felda sempat menukarkan status kawasan tersebut daripada tanah pertanian kepada tanah komersil untuk membolehkan projek pembangunan dilaksanakan di situ.
Pada masa yang sama, geran hak milik peneroka dipegang oleh kerajaan Negeri Sembilan kerana tanah tersebut pada dasarnya sudah dibeli dan peneroka telah dibayar walaupun mereka hanya sebahagian daripada bayarannya.
Ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan peneroka terlibat menyebabkan mereka memfailkan notis saman kepada kerajaan negeri supaya membayar baki berjumlah RM1 juta ataupun mengembalikan semula geran.
Isa yang kini menjadi Menteri Wilayah Persekutuan selepas pilihanraya umum lalu mendakwa projek tersebut kini telah diambilalih oleh Kerajaan Pusat.
Berikutan itu, beliau enggan mengulas lebih lanjut mengenai status projek tersebut kerana menurutnya beliau sudah tidak lagi bertanggungjawab kepada pembangunan Felda Labu Sendayan.
Sebaliknya, beliau berkata, orang yang paling layak untuk bercakap mengenai projek tersebut ialah Menteri Besar Negeri Sembilan yang baru, Datuk Seri Mohamad Hassan.
"Saya sendiri tidak tahu apa kesudahan projek tersebut," katanya lagi.

