Nik Amar: ADUN tak setuju naik gaji sila tulis surat
Polemik berkaitan kenaikan gaji anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) terus meletus.
Kali ini, wakil rakyat Kelantan yang tidak bersetuju dengan kenaikan elaun diminta menulis surat kepada kerajaan negeri bagi menolaknya.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah dilapor berkata demikian selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan oleh Harakahdaily semalam.
Beliau mengulas kritikan keras ADUN Salor dan bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa (
gambar
) yang menolak kenaikan elaun ketika rakyat terhimpit beban kos sara hidup.
Husam berpendapatan kenaikan itu boleh ditangguhkan untuk beberapa bulan kerana keutamaan harus diberikan kepada usaha menyelesaikan beberapa bayaran tertunggak negeri.
Beliau membangkitkan isu tunggakan 16 bulan guru di Yayasan Islam Kelantan (YIK), tunggakan bayaran pencarum kifalah serta tunggakan dividen peserta Ladang Rakyat.
Ambil kira kewangan negeri
Sementara itu, Nik Amar juga dilapor sebagai berkata kenaikan elaunnya, menteri besar dan exco kerajaan negeri wajar dengan keadaan semasa.
Katanya, kenaikan saraan baru itu diambil berdasar kedudukan kewangan kerajaan negeri.
“Kalau dikira peringkat awal Menteri Besar menolak elaunnya dinaik sehingga RM18,000 sebulan, beliau meminta dipotong kepada RM15,000.
“Elaun anggota exco dan menteri besar sudah menjadi peraturan pentadbiran lebih tinggi berbanding dengan wakil rakyat biasa.
“Kalau elaun menteri besar, timbalan menteri besar dan anggota exco sama dengan Adun, jadi elaun wakil rakyat kena lebih rendah lagi,” beliau dipetik sebagai berkata oleh akhbar web PAS itu.
Harakahdaily melaporkan Husam turut mempersoalkan mengapa pemimpin kerajaan itu turut mengambil kesempatan dinaikkan elaun seperti wakil rakyat biasa.
Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 2 November lalu meluluskan meminda Rang Undang-undang Enakmen Saraan Anggota-Anggota Pentadbiran dan ADUN 1980 (Pindaan 2015).
Ia membabitkan kenaikan elaun menteri besar daripada RM12,800 kepada RM15,000 sebulan, timbalan menteri besar, (RM8,800 kepada RM13,000), exco serta speaker DUN, (RM6,000 kepada RM10,000) dan ADUN (RM4,600 kepada RM8,000).

