Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu memberi jaminan kepada rakyat bahawa Badan Pencegah Rasuah (BPR) mempunyai kuasa penuh untuk menyiasat kes-kes rasuah termasuk kes politik wang dalam parti tersebut, kata Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang.

Lim membuat gesaan itu berikutan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Umno tidak akan melibatkan BPR dalam apa juga siasatan berkaitan kes politik wang dalam Umno kerana ianya adalah hal dalaman parti itu.

Beliau menyifatkan kenyataan itu sebagai membelakangi undang-undang dan perlembagaan negara.

Oleh itu, katanya, adalah penting dan sesuai sekali bagi Abdullah memberi jaminan bahawa Umno akan memberi kerjasama dan memastikan wujudnya ketelusan (dalam siasatan kes tersebut).

Lim juga menggesa Peguam Negara Datuk Gani Patail supaya memaklumkan kepada Kabinet bahawa tidak siapapun, parti politik atau sebarang pertubuhan yang boleh terlepas daripada siasatan BPR atau mana-mana undang-undang negara.

Semalam, Najib dilaporkan berkata Majlis Tertinggi (MT) Umno tidak akan merujuk kes-kes politik wang dalam parti itu kepada pihak polis ataupun BPR.

Sebaliknya, katanya, Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin ditugaskan untuk menyelesaikan kes-kes 'dalaman' parti itu sebagai masalah disiplin.

Lim berkata, BPR mesti menyiasat kes-kes politik wang tanpa terikat dengan mana-mana pihak di samping bebas dalam menjalan siasatannya.

Kepentingan awam

Kelmarin, Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Zulkipli Mat Noor berkata politik wang adalah rasuah mengikut Akta Mencegah Rasuah 1997.

Beliau dilaporkan berkata akta tersebut tidak memberi sebarang pengecualiaan kepada pihak berkuasa, termasuk Majlis Tertinggi Umno, daripada disiasat oleh badan itu dan menentukan potensi kes-kes terbabit.

Lim juga menggesa BPR supaya menyiasat laporan yang dibuat oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semalam, berhubung politik wang dalam pemilihan Umno September llau.

Dalam laporannya, Guan Eng berkata, ia membabitkan kepentingan awam kerana sesetengah pemimpin Umno yang digantung keahlian mereka (kerana politik wang) masih lagi memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Ahli Exco Negeri dan Setiausaha Parlimen.

Menurutnya, memandangkan Umno telahpun menjatuhkan hukuman terhadap mereka, maka BPR juga hendaklah menyiasat kes-kes tersebut sama ada ia melanggar undang-undang.

Sehingga ini, 49 pemimpin Umno telah dikenakan tindakan termasuk 37 daripadanya telah digantung keahlian dalam Umno mereka selama tiga tahun, manakala 12 lagi diberi amaran keras.

Antaranya yang digantung keahlian ialah Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Astaman Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Silam Samsu Baharun Abdul Rahman serta Adun Telok Mas (Melaka) Datuk Amid Nordin. Manakala Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mahadzir Mohd Khir diberi amaran kerana kerana terbabit dalam politik wang.