Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta supaya barisan kepimpinan baru MIC tidak mengamalkan "kasta politik" dengan mengetepikan mereka yang kalah.

Beliau berkata, MIC juga perlu menjadi sebuah parti yang adil dan menggambarkan sebuah parti untuk semua kaum India di negara ini.

"MIC mesti menggambarkan mereka sebuah parti yang bagus dan adil.

"Maknanya (MIC) kena berbesar hati... kita nak MIC bukan lagi kecil menguncup tetapi mendapat penyertaan yang besar.

"Jangan tolak mereka kerana mereka tak masuk dalam kem kita atau bukan dalam kasta kita. Saya menyebut ayat ini supaya kita menerima mereka. Kita mesti memandang ke hadapan," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-67 di Serdang hari ini.

Selain itu, Najib juga menegaskan bahawa kaum India merupakan kaum yang penting dalam pembangunan negara.

Malah, beliau turut menegaskan bahawa kaum India bukan kaum pendatang seperti yang disebut sesetengah pihak.

Sehubungan itu, pengerusi BN itu berharap agar kaum India serta MIC dapat bersama-samanya memajukan negara.

"(Kaum) India di Malaysia bukan pendatang. Sebab itu MIC tak boleh amalkan kasta politik.

"MIC kena jadi politik yang dimiliki oleh semua masyarakat India di Malaysia dan kita sedar bahawa masyarakat kaum India di Malaysia adalah penting bagi negara.

"Saya ada impian dan saya mahu Malaysia menjadi sebuah negara yang berada di kemuncak dan saya mahu kaum India menjadi sebahagian daripada pembangunan ini. Kita boleh lakukan perubahan besar pada negara sebab kita ada kekuatan," katanya lagi.