Kami dilayan seperti penjenayah, kata krew NTV7
Tiga kakitangan krew NTV7 yang ditahan oleh pihak berkuasa Thai ketika ditugaskan membuat liputan di wilayah selatan Thai bulan lepas, berkata mereka dilayan seperti penjenayah.
Tiga kakitangan krew NTV7 yang ditahan oleh pihak berkuasa Thai ketika ditugaskan membuat liputan di wilayah selatan Thai bulan lepas, berkata mereka dilayan seperti penjenayah.
Penerbit kanan Zainal Rashid Ahmad, penerbit Fadzli Ramli dan wartawan Firdaus Mohammad Zainal berkata selain disoalsiat selama berjam-jam, gambar mereka juga diambil manakala pergerakan mereka diawasi sepanjang berada di sana.
"Kami disoalsiasat sebanyak dua kali dua jam oleh pihak polis dan kira-kira tiga jam lagi oleh pihak tentera. Kami merasa seperti penjenayah, terutama ketika mereka mengambil gambar kami sambil memegang kad yang bertulis nama, alamat dan nombor telefon.
"Kami diekori ke mana sahaja dan ketika ke tandas pun, pintunya dibiar terbuka, sambil kami diperhatikan oleh seorang pegawai," kata Zainal ketika ditemui di pejabat NTV7 di Shah Alam.
Menurutnya, pihak berkuasa Thai telah merampas dua kamera 'pengintip' buatan Thailand (yang diisytiharkan sebagai barang haram) dan tiga pita yang mengandungi rakaman wawancara dengan penduduk wilayah Yala.
Katanya, sesi soalsiasat di balai polis Yatt Rang (Nyior Lima) pada 20 November tidaklah begitu teruk jika dibandingkan dengan soalsiasat oleh soerang pegawai tentera yang berkeras menuduh kami memasukkan negara itu secara haram.
Masuk secara sah
"Mereka bersopan tetapi kami dapat merasakan yang mereka mahu kami mengaku telah melanggar pusat pemeriksaan tentera, dan ini amat mengejutkan. Kami amat takut ketika itu, tetapi kami berjaya menenangkan diri," katanya.
"Kami tidak menghiraukan tuduhan mereka dan berulangkali memberitahu mereka yang kami masuk mengikut peraturan dan Kedutaan Thailand di Kuala Lumpur juga tidak memaklumkan bahawa wilayah selatan Thai tidak boleh dimasuk oleh wartawan. Akhirnya mereka membebaskan kami kerana mereka tidak ada sebarang alasan untuk terus menahan kami," tambahnya.
Ketiga-tiga krew NTV7 itu percaya mereka ditahan kerana telah melawat salah sebuah agama yang terkenal di wilayah Yala.
"Kami ditahan sebaik sahaja beredar dari sekolah tersebut. Kami ke sana kerana ia merupakan salah sebuah sekolah agama terbesar dan kerana beberapa gurunya telah ditahan empat hari sebelumnya," katanya.
Menurut Zainal lagi, mereka di sekolah tersebut enggan bercakap apa-apa kerana bimbangkan tindakan dari pihak berkuasa.
Katanya, mereka berada di situ selama tujuh hari tanpa sebarang gangguan daripada pihak berkuasa kerana berlagak sebagai pelancong.
Menurut beliau lagi, ketika mereka sampai ke dua wilayah lagi Pattani dan Narathiwat ramai anggota polis dan tentera yang dilihat berada di sana.
Rakaman ekslusif
"Jadi kami mengambil keputusan untuk berlagak sebagai pelancong untuk beberapa jam sehinggalah kami yakin kami tidak lagi diawasi," tambahnya.
Ditanya mengapa mereka tidak terus pulang sahaja ke Malaysia selepas dibebaskan, Zainal berkata selepas menemui penduduk tempatan selama tiga hari sebelum mereka ditangkap, beliau yakin akan dapat mendapat 'berita bagus'.
"Ya, kami memang takut tetapi pada masa yang sama, kami sedar bahawa kami akan mendapat berita baik di sana. Itulah sebabkan kami membuat keputusan untuk terus tinggal di sana," katanya.
Dan katanya, keputusan itu untuk terus tinggal di sana berbaloi apabila mereka berjaya memperolehi pita rakaman video ekslusif mengenai kejadian tunjuk perasaan di Tak Bai. Mereka menerima rakaman tersebut daripada sumber mereka di Thailand.
Zainal berkata rakaman selama 50 minit itu yang dipertontonkan kepada malaysiakini, membuktikan tunjuk perasaan itu diadakan secara aman sehinggalah pihak tentera bertindak ganas.
"Rakaman itu memberi kami gambaran jelas apa yang sebenarnya berlaku di Tak Bai pada hari kejadian tersebut. Saya tidak fikir rakaman itu pernah disiarkan di mana-mana pun sebelum ini. Ia dirakamkan dari balai polis," katanya.
Rakaman itu menunjukkan pihak tentera menembak penunjuk perasaan itu dengan meriam air, dipercayai untuk memisahkan orang ramai daripada para pegawai. Sejurus selepas itu, tembakan senjata dilepaskan ke arah penunjukkan perasaan selama kira-kira 30 minit.
Sesak nafas
"Jelas bahawa penunjuk perasaan terbabit menjadi sasaran mudah. Mereka jelas tidak tahu apa yang akan berlaku dan tidak langsung dapat mempertahankan diri," kata Zainal.
Menurutnya lagi, rakaman itu juga menunjukkan bagaimana penunjuk perasaan yang cedera dipukul oleh pihak berkuasa sehingga tidak berdaya.
Katanya, lelaki-lelaki yang tidak berbaju sesetengahnya hanya memakai kain dibaringkan dengan muka ke tanah dan tangan diikat. Mereka kemudiannya dipaksa bergerak sambil berbaring sejauh kira-kira 300 meter menuju ke arah trak-trak tentera di situ.
Menurutnya, mereka dibaringkan dalam trak tersebut dalam keadaan menindih satu sama lain. Kemudian anggota keselamatan menutup mereka lapisan plastik, sebelum mengarahkan yang lainnya berbaring di atas mereka. Tidak hairanlah mengapa mereka mati kerana sesak nafas ketika dibawa ke kem tentera di Narathiwat.
Mengikut Zainal lagi, sebahagian daripada rakaman tersebut akan ditayangkan dalam program Edisi Siasat, yang kini ditukar namanya kepada My Siasat: 60 minit pada jam 5 petang esok.
"Klip rakaman di selatan Thai itu adalah satu permulaan baik bagi edisi pertama program My Siasat: 60 minit.
"Kami juga akan menayangkan wawancara kami dengan 20 penduduk Islam Thai yang turut berada di tempat kejadian sewaktu tunjuk perasaan itu berlaku. Kami harap penonton akan menghargai susah payah kami mendapatkan berita tersebut," katanya.
Hentikan penculikan
Ketiga-tiga mereka juga berharap agar pihak kerajaan menggalakkan media Malaysia supaya pergi sendiri untuk membuat liputan mengenai perkembangan di wilayah selatan Thai.
"Laporan yang kita perolehi di sini yang berasaskan kepada laporan agensi-agensi berita asing adalah tidak betul. Penduduk di sana terperanjat apabila kami memberitahu mereka bahawa dunia luar menganggap apa yang berlaku di sana berpunca daripada perjuangan untuk mendapatkan autonomi dan kerana konflik agama.
"Penduduk Islam di sana bangga menjadi rakyat Thai dan mereka amat sayang kepada Raja dan Permaisuri mereka. Jadi, ianya bukanlah kerana autonomi. Mereka hanya tidak senang dengan kejadian penculikan penduduk yang terus berlaku sejak 20-30 tahun lalu. Apabila guru-guru agama yang dihormati di situ ditangkap, maka kemarahan mereka sampai ke kemuncaknya.
"Mereka tidak membenci penganut agama Buddha. Mereka memberitahu saya: Kami pergi ke masjid, mereka pergi ke kuil. Jadi jelas bahawa perbezaan agama bukanlah satu masalah di sini.
"Mereka mahukan dua perkara: pembangunan ekonomi dan kebebasan mengamalkan agama Islam yang juga bermaknakan menghentikan penculikan itu. Jika mereka dapat dua perkara ini, ramai yang berkata, mereka akan berpuas hati," katanya.

