Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan beliau menyokong cadangan yang dikemukakan oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary untuk membeli 15.8 peratus pegangan ekuiti dalam DRB-Hicom Bhd.

Menurut laporan Bernama, keputusan itu dibuat kerana Syed Mokhtar telah menawarkan bida lebih tinggi iaitu RM3.60 sesaham berbanding bida konsortium yang diketuai oleh Tan Sri Nasimuddin S.M. Amin sebanyak RM3.50.

Di samping itu, kata Abdullah, Syed Mokhtar juga mempunyai kemampuan untuk melaksanakannya.

Perdana Menteri menegaskan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kolej Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur di Bangi, dekat sini.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, selepas meneliti dengan teliti perkara itu, Abdullah mengambil keputusan menyokong cadangan Syed Mokhtar, memandangkan vendor bagi pegangan ekuiti berkenaan tidak dapat mencapai persetujuan sesama mereka dan telah meminta nasihat serta panduan daripada Perdana Menteri.

Menurut kenyataan itu lagi, apabila diumumkan cadangan penjualan pegangan ekuiti bagi satu blok 155.4 juta saham yang mewakili 15.8 peratus pegangan dalam kumpulan automotif, perkhidmatan kewangan, perladangan dan hartanah itu, kerajaan tiada halangan terhadap kedua-dua pembida itu iaitu Nasimuddin dan Syed Mokhtar.

Salleh jumpa PM

Bagaimanapun, setelah vendor atau pihak penjual saham pegangan ekuiti itu tidak dapat mencapai persetujuan sesama mereka, Perdana Menteri mengambil keputusan untuk menyokong bida yang lebih tinggi dan vendor telah dimaklumkan mengenai keputusan itu.

Pemegang blok saham utama yang hendak dijual itu terdiri daripada pewaris Alllahyarham Tan Sri Yahaya Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif DRB-Hicom Tan Sri Saleh Sulong dan Aziz Salleh, bagi pihak tiga syarikat Citaria Sdn Bhd, Syarikat Manhamat Sdn Bhd dan Billiard Distributors Sdn Bhd.

Pewaris memegang 40 peratus daripada 15.8 peratus pegangan itu, Saleh 20 peratus dan tiga syarikat 40 peratus.

Sebelum itu, pewaris telah menyatakan bahawa ia cenderung kepada bida Nasimuddin manakala Saleh dan tiga syarikat lebih kepada bida Etika Strategi Sdn Bhd, firma bersekutu dengan Syed Mokhtar.

Semalam, Saleh telah menemui Perdana Menteri selama 15 minit untuk memaklumkan kepada beliau mengenai perkara itu.

"Perdana Menteri bertanyakan beberapa soalan kepada saya dan saya memberikan jawapannya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majis "Rumah Terbuka" Hari Raya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di Kuala Lumpur.

RM15 juta lebih tinggi

Saleh juga menyatakan perbezaan 10 sen dalam bida berkenaan menjadikan perbezaan yang besar kerana ia berjumlah lebih daripada RM15 juta.

Semasa berada di Santiago baru-baru ini, Abdullah berkata cadangan Syed Mokhtar itu adalah baik dalam menyelesaikan "tarik-tali" yang berpanjangan itu.

Perdana Menteri telah meminta Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop menjadi orang tengah mengenai perkara itu berikutan satu cadangan yang dikemukakan oleh Syed Mokhtar supaya memecahkan perniagaan syarikat itu di kalangan dua konsortium itu.

Khamis lalu, Nor Mohamed berkata kerajaan memberi pandangannya kepada vendor dan terpulang kepada mereka untuk memutuskannya.

Dalam usaha untuk mendapatkan satu formula sama-sama menang, Syed Mokhtar telah mencadangkan supaya hartawan automobil tempatan, Nasimuddin, mengambil perniagaan automotif DRB-Hicom manakala beliau (Syed Mokhtar) mengambil perniagaan bukan automotif