Keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap empat mangsa kes pembunuhan kejam di Jalan Pahang di sini, akan diketahui dalam dua minggu atau selewat-lewatnya sebulan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP Goh Kok Liang berkata beberapa sampel tulang dan gigi yang dipercayai mangsa bunuh dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia Jumaat lepas untuk tujuan bedah siasat dan analisis DNA.

Beliau berkata sampel darah keluarga terdekat kesemua mangsa telah diambil bagi tujuan proses padanan DNA di Hospital Tapah, Isnin lepas.

"Sementara itu, tempoh reman dijangka dilanjutkan selepas tempoh tahanan reman empat sekeluarga akan berakhir pada Khamis ini," katanya ketika dihubungi di Tapah hari ini.

Sebelum ini, kesemua suspek sekali lagi ditahan reman semula selama tujuh hari membabitkan kes pembunuhan seorang lelaki berumur 54 tahun yang bekerja sebagai jurujual alat ganti kenderaan, dilapor hilang pada 15 Jun 2014.

Pembunuhan kejam sekurang-kurangnya empat individu itu terbongkar selepas polis menyerbu bengkel membaiki kenderaan berat di Jalan Pahang di Tapah pada 26 Okt lepas setelah mendapat maklumat berhubung kehilangan seorang mangsa lelaki berusia 46 tahun yang dibuat keluarganya pada 25 Ogos lepas.

Mangsa ialah seorang pekebun dan broker tanah berusia 46 tahun yang dilaporkan hilang pada 25 Ogos lalu, seorang wanita yang juga pengusaha bas persiaran berusia 56 tahun (hilang 1 Mac 2014), jurujual alat ganti kenderaan berusia 54 tahun (hilang 15 Jun 2014) dan pekerja bengkel berusia 36 tahun yang dilaporkan hilang pada 30 Okt 2012.

Semua mangsa dipercayai dibunuh sebelum dibakar dan tulang serta abu mayat dibuang ke Sungai Ceroh di belakang bengkel berkenaan.

-Bernama