K’jaan perpaduan S’gor: Saya bukan ahli PAS, kata Azmin
Menteri Besar Mohamed Azmin Ali mengelak daripada menjawab dakwaan sama ada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menawarkan jawatan MB bagi kerajaan perpaduan yang diterajui oleh parti itu dan Umno.
Ketika disoal pemberita, Azmin sebaliknya hanya berkata, isu kerajaan perpaduan di negeri itu tidak timbul dan beliau bukan merupakan ahli PAS.
"Tak timbul (isu kerajaan perpaduan).
"Saya bukan ahli PAS. Saya tak duduk dalam mesyuarat PAS," katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang media di ibu pejabat Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) di Kuala Lumpur.
Diasak mengenai kenyataan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang mendakwa beliau yang memberitahu Dr Hatta Ramli tentang hasrat Hadi untuk menubuhkan kerajaan perpaduan, Azmin hanya berkata:
"Dia (Khalid) nak sebut nama saya nak buat macam mana," katanya.
Selain Khalid, bekas Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa juga mendakwa Hadi cuba membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno di Selangor.
Dalam satu ceramah di Pasar Kedai Mulong, Pasir Mas, minggu lalu, Husam berkata Hadi sendiri mengaku perkara itu apabila ditanya ramai-ramai oleh ahli PAS.

