Menteri Besar Mohamed Azmin Ali hari ini berkata anak lelakinya tidak takut dan bersedia untuk memberi keterangan kepada pihak polis berhubung pembabitannya bersama himpunan BERSIH 4 pada akhir Ogos lalu.

Malah, secara berseloroh, Azmin berkata keberanian anaknya itu kerana mengikut jejak langkahnya.

"Dia tidak takut. Malah anak saya bersedia memberikan keterangan kepada pihak polis dan saya minta dia fokus kepada peperiksaan.

"Tengok ayah dialah," kata Azmin tersenyum.

Azmin berkata demikian kepada pemberita selepas sidang media di ibu pejabat Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).

Selain itu, Azmin memberitahu, anak lelaki yang berusia 15 tahun itu juga tidak mempunyai sebarang masalah kerana beliau pergi sekolah seperti biasa.

"Dia pergi ke sekolah awal pagi tadi untuk duduk peperiksaan awal pagi tadi.

"7.30 pagi tadi dan peperiksaan dia bermula 8.30 pagi. Saya juga dah maklumkan pada peguam," kata Azmin yang turut memberitahu anaknya bersekolah di sebuah sekolah Islam antarabangsa di Ampang.

Semalam, pihak polis mengarahkan anak lelaki Azmin itu hadir ke IPD Dang Wangi pada hari ini berikutan kehadirannya pada perhimpunan BERSIH 4.

Bagaimanapun, ia ditangguhkan sehingga minggu depan bagi membenarkan remaja berusia 15 tahun itu menghadapi peperiksaannya yang bermula hari ini hingga Jumaat.

Azmin hadir ke perhimpunan di Kuala Lumpur pada hujung Ogos lalu itu bersama keluarganya.

Tindakan pihak polis yang memanggil anak Azmin, Basheer, dibidas DAP dengan menganggap ia sebagai pendakwaan terpilih.

Malah, DAP juga menggesa Kementerian Dalam Negeri menghentikan gangguan terhadap anak timbalan presiden PKR itu dan menggunakan sumber terhad polis untuk menyelesaikan kes tertunggak seperti dakwaan salah urus firma pelaburan negara 1MDB.