Kira-kira 1,000 doktor tercicir dalam bidang perubatan susulan penguasaan bahasa Inggeris yang lemah.

Graduan perubatan yang tamat dua tahun menjadi doktor pelatih di hospital awam, tidak lagi berminat meneruskan kerjaya kerana kekangan bahasa, lapor T he Star .

“Walaupun tamat menjadi doktor pelatih tahun lepas, mereka tidak berminat lagi menjadi doktor.

“Sebab utamanya kerana kelemahan memahami bahasa Inggeris mereka,” Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Melaka Dr M Nachiappan dipetik sebagai berkata.

Faktor lain termasuk kurang minat dalam latihan asas perubatan, lemah kemahiran komunikasi dengan pesakit serta kecewa dengan keadaan kerja.

Nachiappan berkata, kurangnya penguasaan bahasa Inggeris menjadi penghalang serius kepada pelajar perubatan, terutamanya untuk bersaing dengan negara luar.

Masalah itu katanya menjejaskan pelajar perubatan, termasuk di peringkat kolej.

Banyak rujukan perubatan selain kuliah universiti menggunakan bahasa Inggeris.