1,000 Touch ’N Go percuma untuk pengguna LATAR
Sempena sambutan Deepavali, Lebuh Raya KL-Kuala Selangor (LATAR) akan mengedarkan seribu kad Touch ‘n Go percuma bernilai RM10,000 kepada para pengguna lebuh raya itu.
Ketua Pegawai Operasi LATAR Ahmad Fuad Ahmad Shahimi berkata ia akan diedarkan di lorong tunai di semua plaza tol lebuh raya itu bermula 12.01 tengah malam ini hingga kehabisan stok.
“Program ini merupakan salah satu daripada tanggungjawab sosial korporat lebuh raya LATAR dan sebagai tanda penghargaan khasnya kepada para pengguna setia lebuh raya LATAR di atas sokongan yang diberikan selama ini,” katanya.
Fuad berkata, pengagihan itu bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai pengguna beralih kepada sistem pembayaran tol secara elektronik yang akan dilaksanakan sepenuhnya tahun hadapan.

