SKMM sekat 1,074 laman sesawang lucah
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat sebanyak 1,074 laman sesawang lucah mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, tindakan itu adalah sebahagian usaha berterusan bagi memelihara nilai-nilai murni yang didukung masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Katanya, sebanyak 106 laman lagi akan disekat atas kesalahan sama.
"Penting untuk SKMM ambil tindakan kerana ini adalah punca kepada masalah sosial di negara kita," katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka Deepavali 2015 anjuran Badan Perhubungan MIC Sabah di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas, dekat Kota Kinabalu hari ini.
Salleh berkata, masyarakat awam juga perlu memberi maklumat mengenai mana-mana laman sesawang yang dipercayai menyebarkan kandungan berunsur lucah.
Katanya, maklumat itu boleh dimajukan kepada SKMM di aduanskmm@cmc.gov.my .
Dalam perkembangan sama, beliau berkata SKMM turut mengambil tindakan serupa ke atas laman web judi di negara ini.
"Perkara ini kami akan banteras, juga dengan kerjasama semua pihak. SKMM akan bertindak bersama agensi lain yang terbabit termasuk Polis Diraja Malaysia dan yang penting hal-hal seperti ini perlu diberi perhatian sewajarnya," katanya.
Mengenai Deepavali, beliau berharap ia dapat memperjelas dengan baik keutuhan hubungan antara rakyat Malaysia, sekali gus memupuk perasaan dan sikap saling hormat-menghormati antara pelbagai kaum ke arah memelihara keamanan dan keharmonian negara ini.
"Saya berharap rakyat negara ini akan dapat hidup dalam keadaan harmoni yang berpaksi kepada sikap toleransi yang juga elemen penting dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia," katanya.
Salleh berkata, ia selaras dengan aspirasi kerajaan memperkenalkan konsep 1Malaysia yang mengutamakan perpaduan nasional.
Beliau berkata masyarakat majmuk di negara ini disaran untuk mencari dan melihat persamaan yang ada bagi mengukuhkan ikatan perpaduan.
"Jika pun ada perbezaan, kita harus melihat perbezaan itu dengan cara kita sendiri di Malaysia, kita tidak boleh terikut-ikut dengan cara luar yang tidak selari dengan budaya kita. Ini penting untuk terus memelihara kestabilan negara daripada pelbagai aspek," katanya lagi.
- Bernama

