Suaram bidas Najib potong RM5 juta dana Suhakam
Pemotongan drastik bajet Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) adalah bukti bahawa kerajaan tidak mempunyai kemahuan politik untuk memberi kuasa kepada Suhakam, kata Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy.
"Kerajaan Malaysia tidak boleh mendakwa bahawa mereka memetingkan hak asasi dan kebebasan awam sedangkan ini tidak dicerminkan melalui peruntukan bajet untuk Suhakam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi bajet 2016, peruntukan Suhakam dikurangkan hampir 50 peratus iaitu daripada lebih RM10 juta pada tahun ini dipotong menjadi RM5.5 juta.
Menurut Doraisamy, ini akan menyukarkan Suhakam menjalankan operasi hariannya dan kempen awam.
Beliau menggesa kerajaan mengkaji semula peruntukan bajet untuk Suhakam dan memberi kuasa yang lebih kepada suruhanjaya itu bagi mencerminkan statusnya sebagai institusi hak asasi manusia kebangsaan.
Jika kerajaan tidak berbuat demikian, Suhakam akan gagal untuk mematuhi Piawaian Paris, kata Doraisamy.
Menurutnya, ini akhirnya akan membawa kepada penurunan taraf suruhanjaya itu daripada status semasa 'A' mengikut Piawaian Paris.
Suhakam adalah institusi hak asasi kebangsaan yang diberi mandat oleh Parlimen mempromosi pendidikan mengenai hak asasi manusia, memberi nasihat mengenai dasar dan perkara berkaitan perundangan dan melakukan siasatan.
Ia selama ini dikatakan lantang terhadap beberapa dasar dan undang-undang kerajaan yang dianggap kejam dan tidak adil.

