Najib puji Letchumi gigih bantu orang lain
Datuk Seri Najib Razak mahu rakyat mencontohi golongan yang berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan hasil daripada memanfaatkan bantuan kerajaan dan kemudiannya kembali menyumbang kepada masyarakat.
Menyifatkan usaha mereka yang kembali menyumbang kepada masyarakat yang memerlukan sebagai satu tindakan mulia, Perdana Menteri berkata pihaknya amat menghargai usaha berkenaan.
Menulis di Facebook, katanya, beliau sempat meluangkan masa menyambut Deepavali bersama dengan ibu tunggal berkenaan, N Letchumi di Taman OUG, Jalan Klang Lama, Petaling Jaya hari ini.
"Mungkin tidak ramai yang tahu kisah beliau yang mengalami kesusahan dalam hidup apabila suaminya meninggal dunia 31 tahun dulu dan kemudiannya dengan bantuan kerajaan, dapat meneruskan kehidupan dengan jayanya.
"Kejayaan beliau kini membolehkan beliau membantu orang lain dengan memberi khidmat nasihat kepada mereka yang memerlukan bantuan kerajaan.
"Saya amat menghargai sumbangan mulia N Letchumi, dan berharap ramai lagi dapat meneladani atau mencontohi beliau dengan menyumbang kembali kepada mereka yang memerlukannya pula.
"Selamat Hari Deepavali !," katanya dalam catatan akaun Facebook dan Twitter.
Letchumi, ibu tunggal empat anak kematian suami sejak 30 tahun lalu adalah peniaga kecil gerai di Sungai Besi, aktif dalam aktiviti sukarelawan komuniti.

