Politik wang: Pemuda Keadilan sedia ke mahkamah

   

Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencabar Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin supaya mengheretkan pergerakan itu ke mahkamah supaya ia dapat mendedahkan Barisan Nasional (BN) menggunakan politik wang untuk memenangi pilihanraya umum lalu.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Penerangannya Badrul Hisham Shaharin, menegaskan bahawa Angkatan Muda PKR menyokong kenyataan Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat yang mendakwa BN menggunakan wang untuk memenangi pilihanraya umum lalu.

Semalam, Khairy memberi kata dua kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya menarik balik kenyataannya yang menuduh BN menggunakan wang untuk memenangi pilihanraya umum lalu, atau menghadapi tindakan undang-undang

Khairy dilaporkan sebagai berkata, jika Mursyidul Am PAS itu tidak menarik balik kata-katanya selewat-lewatnya Rabu ini, Pemuda Umno akan membuat laporan polis.

Naib Ketua Pemuda Umno itu menyifatkan kenyataan Nik Aziz sebagai fitnah, tidak berasas serta tidak adil dan ia adalah satu tuduhan yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti Umno.

"Jika benar menantu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ini hendak menyeret sesiapa yang menyatakan Umno terlibat menggunakan wang dalam memenangi pilihanraya, kami bersedia turut ke mahkamah untuk mendedahkan bukti-buktikan berkaitan," kata Badrul Hisham.

"Angkatan Muda Malaysia mencabar Pemuda Umno atas fakta ini untuk mengadakan debat terbuka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemilihan Umno

Dalam temu ramah dengan New Sunday Times Ahad lalu, Nik Abdul Aziz dilaporkan berkata bahawa Pas mengalami kekalahan dalam pilihanraya disebabkan politik wang.

Nik Aziz membuat kenyataan itu ketika menjawab soalan wartawan yang bertanyakan apa yang PAS sedang lakukan untuk mengembalikan kekuatannya selepas kalah teruk pada pilihanraya umum lalu.

Sehubungan itu, Badrul Hisham mendakwa politik wang berlaku bukan sahaja dalam pilihanraya tetapi juga dalam pemilihan agung Umno baru-baru ini.

"Hakikat ini diakui sendiri oleh perwakilan Umno, termasuk Menteri Penerangan sendiri (Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir), dengan menyatakan pemilihan Umno yang lepas menyaksikan politik wang paling teruk," tambahnya.

Badrul Hisham juga menegur kenyataan Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Zulkipli Mat Noor bahawa rasuah dalam pemilihan Umno merupakan satu jenayah dan badan itu boleh bertindak "tetapi sehingga kini BPR masih tidak menerima sebarang laporan.

"Beliau jelas berbohong apabila mengatakan belum menerima laporan, kerana jelas banyak laporan yang dihantar mengenai isu tersebut, antaranya oleh Dewan Pemuda PAS.

"Adakah laporan tersebut telah dibakulsampahkan kerana ia datang dari pembangkang atau kenyataan pengarah BPR hanya sebagai penyedap telinga sambil cuba mencuri populariti dalam kes ini," tambahnya.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In