'Saya pernah bersama Umno, tapi bukan bendahari parti'
Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menafikanbeliau pernah menjadi bendahari Umno Kelantan.
Dalam temu bual eksklusif dengan The Malaysian Insider , Apandi berkata satu-satunya jawatan bendahari yang disandangnya adalah ketika bersama Majlis Peguam.
"Sekarang, bendahari Umno Kelantan? Ini, saya perlu bantuan anda untuk memberitahu dunia bahawa ia adalah dusta.
"Saya tidak pernah, tidak pernah, jadi bendahari Umno.
"Saya pegang jawatan bendahari (Majlis Peguam). Dua kali," katanya kepada portal berita itu.
Apandi berkata beliau menjadi ahli Umno dari tahun 1982 hingga 1991, dan kedudukan tertingginya adalah hanya Ketua Pemuda Umno Bahagian Pengkalan Chepa.
Katanya, beliau keluar parti apabila menyertai Majlis Peguam pada tahun 1991 dan aktif sehingga tahun 2001.
"Bangunan yang kini diduduki dan dimiliki oleh Majlis Peguam, adalah idea saya apabila saya adalah bendahari. Ia patut dinamakan Bangunan Apandi," katanya secara berseloroh.
Peguam Negara berkata tempoh singkatnya bersama Umno menjadikan dirinya sebagai mangsa persepsi negatif.
Apandi dilantik sebagai Peguam Negara pada akhir Julai lalu, selepas Tan Sri Abdul Gani Patail secara tiba-tiba dilucutkan daripada jawatan berkenaan.

