Potong bajet pendidikan, BN berisiko hilang sokongan
Pengarah Strategi PKR Sim Tze Zin hari ini memberi amaran bahawa potongan RM1.4 bilion peruntukan kerajaan untuk Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mengikut Bajet 2016 boleh membawa kepada terhakisnya sokongan belia untuk BN.
“Pada PRU13 yang lalu, Umno/BN hanya mendapat 46 peratus sokongan orang muda dalam kategori umur 21-25.
“Pemotongan bajet IPTA dua tahun berturut-turut akan menyebabkan kesangsian di kalangan mahasiswa,” kata Sim yang juga adalah Ahli Parlimen Bayan Baru dalam satu kenyataan.
Beliau berkata tindakan itu menunjukkan kerajaan telah 'berputus-asa' dalam usaha mendapat sokongan orang muda terutamanya golongan mahasiswa yang berpendidikan tinggi dan pandai berfikir.
Menyedari bahawa kerajaan akan meneruskan rancangan untuk mengurangkan kebergantungan universiti tempatan dengan pembiayaan persekutuan, Sim berkata apa yang berlaku adalah kerajaan silap meletakkan keutamaan dalam belanjawan negara.
“Kerajaan seharusnya meletakkan pendidikan anak muda pada tempat pertama.
“Malangnya, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan membuat keputusan memotong bajet RM1.4 billion daripada IPTA tetapi meningkatkan peruntukan Jabatan Perdana Menteri sebanyak RM1 bilion. Ini, pada pendapat saya adalah salah meletakkan prioriti,” katanya.
Bagaimanapun, kata Sim masih belum terlambat bagi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk membetulkan kesilapan itu dengan membentangkan usul di Dewan Rakyat minggu depan.
Katanya, Najib boleh berbuat demikian dengan mengurangkan peruntukan Jabatan Perdana Menteri yang berjumlah RM1.4 bilion dan menyalurkan dana itu kepada universiti-universiti tempatan.
“Ini adalah peluang untuk memperbetulkan perbelanjaan demi mahasiswa dan masa depan negara,” katanya lagi.

