Selepas faks dan emelnya tidak dilayan, seorang doktor yang tidak puashati dengan sikap acuh tidak acuh kakitangan pesawat Cathay Pacific apabila dia mengadu mengenai kebocoran pada pintu kecemasan, mengambil keputusan untuk menceritakan pengalamannya kepada pihak media.

Dr Christopher Tien Yen Chee, menaiki pesawat itu dari Hong Kong ke Pulau Pinang pada 5 November lalu. Beliau ternampak air hujan masuk melalui pintu kecemasan pesawat itu, beberapa minit sebelum berlepas.

Beliau kemudian memberitahunya kepada kakitangan pesawat tersebut apabila ia singgah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebelumnya berlepas semula dalam keadaan hujan lebat. Bagaimanapun, jurutera dan juruterbang berkeras mengatakan bahawa pesawat Boeing 777 itu selamat untuk terbang.

Walaupun doktor tersebut dan isterinya selamat mendarat di Pulau Pinang, tetapi beliau begitu risau dengan kejadian tersebut. Beliau juga tidak puashati kerana aduan kepada Ibu Pejabat Cathay Pacific di Hong Kong, juga tidak dilayan.

Tien turut menghantar salinan aduannya kepada malaysiakini melalui emel. Menurutnya, penumpang dari KLIA untuk menaiki pesawat tersebut untuk ke Pulau Pinang, juga disuruh menunggu dalam pesawat itu selama 45 minit di KLIA.

"Hujan amat lebat. Penumpang yang duduk berhampiran pintu kecemasan (di belakang) ternampak air hujan masuk melalui pintu itu yang tertutup ke bahagian kabin," katanya, sambil menambah pintu itu tidak pernah dibuka sepanjang penerbangan tersebut dari Hong Kong.

Salinan rakaman video oleh Tien menunjukkan terdapat banyak air yang melilih masuk melalui pintu tersebut.

"Sudah tentu penumpang yang melihatnya, termasuk diri saya, merasa bimbang. Jika air boleh masuk, jadi bagaimanapun pintu tersebut ditutup? Dan adakah kami berada dalam bahaya sepanjang penerbangan tersebut?" katanya dalam suratnya kepada Cathay Pacific.

Juruterbang menyindir

Tien, yang merupakan ahli 'Asia Mile' dengan syarikat itu sejak tahun 2000, berkata, sebelum pesawat itu berlepas, beliau dan beberapa penumpang lain, telah meminta supaya jurutera dipanggil untuk memeriksa pintu tersebut.

"Tiada seorang pun kakitangan kanan datang untuk memeriksa kebocoran tersebut. Tiada ada pun kakitangan kanan yang datang untuk menenangkan penumpang. Ia cuma meminta jurutera datang memeriksa masalah tersebut. Itulah sahaja.

"Selepas 20 minit kemudiannya, seorang yang bernama Encik Douglas datang, lalu mengambil kertas untuk melap air tersebut, menjeling dan berpusing, sambil berkata ianya perkara biasa," katanya Tien.

Tien berkata, beliau dan penumpang lain dalam pesawat buatan Amerika itu, tidak begitu yakin dengan penilaian jurutera terbabit, lalu pergi menemui juruterbang.

Katanya, beliau begitu terperanjat apabila jurterbang yang bernama Kapten Colin, berkata beliau tidak menyedari terdapat kebocoran pada pintu tersebut.

"Sayalah orang yang terakhir dalam rangkaian komunikasi,' itulah jawapan juruterbang itu kepada Tien apabila beliau bertanya sama ada pesawat itu selamat untuk melakukan penerbangan.

Katanya, beliau diberitahu bahawa juruterbang tersebut tidak menerima sebarang aduan, apatah lagi laporan pemeriksaan (pesawat).

"Ini mengejutkan! Tanpa mengetahui keadaan pesawat, beliau bersiap sedia untuk berlepas," kata Tien sambil menambah, jurutera tersebut memberi isyarat 'bagus' kepada juruterbang untuk berlepas.

Bila Tien terus menerus mendesak, beliau terperanjat dengan sikap skastik dan tidak sensitif yang ditunjukkan oleh juruterbang tersebut.

"Kemudian juruterbang itu berkata kepada saya,"Dr Chee, kita perlu berlepas ke Pulau Pinang. Jadi apa yang awak mahu kami lakukan? Habiskan lebih banyak masa memerika pintu atau berlepas supaya tidak berlaku sebarang kelewatan?'

"Mana boleh kapten membuat kenyataan menyindir begitu, terutama kepada seseorang yang mewakili para penumpang yang sedang risau, yang tidak begitu tahu perkara teknikal mengenai sistem keselamatan dalam pesawat," kata Tien dalam surat aduan yang dihantarnya kepada Cathay.

Kejadian tersebut telah membuat Tien berfikir semula sama ada beliau mahu terus menggunakan perkhidmatan syarikat tersebut pada masa depan.

Malaysiakini juga sedang menunggu jawapan terhadap emel yang dihantarnya ke pejabat syarikat penerbangan tersebut di Kuala Lumpur dan Hong Kong berhubung kejadian tersebut.

_____________________________________________________

Lihat rakaman video mengenai kebocoran pintu tersebut di sini.